
MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menangguh perbicaraan rasuah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membabitkan Yayasan Akalbudi kepada Januari tahun depan.
Hakim Collin Lawrence Sequerah mengosongkan baki empat hari pada bulan ini untuk perbicaraan.
Peguam Ahmad Zahid, Hisyam Teh Poh Teik sebelum ini memaklumkan mahkamah bahawa rayuan interlokutori dalam kes itu ditetapkan untuk dibicarakan di Mahkamah Rayuan pada 14 November.
Untuk rekod, rayuan itu adalah atas permohonan Ahmad Zahid untuk mendapatkan keterangan rekod 15 saksi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes rasuah yang ditolak Sequerah pada 9 Mei lalu.
Hisham memohon mahkamah mengosongkan perbicaraan pada Rabu (2 November) dan Khamis (3 November), serta pada 9 November dan 10 November, sementara menunggu keputusan rayuan 14 November.
Beliau berkata, keputusan Mahkamah Rayuan itu akan membantu pihak pembelaan dalam menentukan bilangan dan turutan saksi.
“Terdapat banyak saksi yang ditawarkan kepada pihak pembelaan yang akan kita fokuskan.
"Tetapi kami memerlukan bimbingan daripada Mahkamah Rayuan sama ada kami boleh mendapatkan kenyataan mereka atau sebaliknya.
"Jadi, kami berada dalam dilema. Atas nama keadilan, kami minta mahkamah menunggu keputusan 14 November ini," kata Hisyam pada Rabu.
Hisyam juga memberitahu mahkamah bahawa seorang saksi dari Bagan Datuk yang sepatutnya memberi keterangan pada Rabu tidak sihat.
Tambahan lagi, pihak pembelaan tidak mempunyai saksi lain untuk dipanggil buat masa ini.
Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob tidak membantah permohonan penangguhan itu.
“Kita serahkan kepada mahkamah,” katanya.
Hakim Sequerah kemudian menetapkan perbicaraan selama 21 hari antara Januari dan Mei tahun depan.
Tarikh baharu itu ialah 16 Januari - 19 Januari, 30 Januari, 31 Januari, 7 Februari hingga 9 Februari, 27 Mac hingga 30 Mac, 10 April hingga 13 April, dan 15 Mei hingga 18 Mei.
Ahmad Zahid menghadapi 47 pertuduhan, membabitkan 12 pertuduhan pecah amanah (CBT), lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit milik yayasan kebajikan yang diasaskannya itu.
Pada 18 Februari lepas, pihak pembelaan memfailkan permohonan untuk mendapatkan keterangan 15 saksi berkenaan.
Pihak pembelaan meminta keterangan saksi, termasuk Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi, iaitu abang kepada Ahmad Zahid.
Kenyataan dari Mohamad Nasaee itu penting bagi pertuduhan ke-11 yang dihadapi Ahmad Zahid.
Pada 9 Mei, Hakim Sequerah menolak permohonan Ahmad Zahid untuk mendapatkan kenyataan daripada Mohd Nasaee dan rayuan terhadap keputusan tersebut akan didengar oleh Mahkamah Rayuan pada 14 November. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram