Peguam MC sebab alami masalah pernafasan, bicara kes SM Faisal cederakan bekas isteri ditangguh 25 November


Kes SM Faisal (kiri) dan bekas isterinya Emilia Hanafi ditangguhkan ke 25 November depan. — Bernama

PERBICARAAN kes ahli perniagaan, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin yang didakwa menyebabkan kecederaan terhadap bekas isterinya Emilia Hanafi, yang dijadualkan pada Isnin di Mahkamah Majistret, Kuala Lumpur ditangguhkan ke 25 November.

Peguam Datuk Jagjit Singh yang mewakili SM Faisal memberitahu mahkamah bahawa, peguam utama ahli perniagaan itu Datuk Akberdin Abdul Kader, tidak dapat hadir pada Isnin kerana mengalami masalah pernafasan selain turut mengemukakan sijil cuti sakit (MC), peguam berkenaan kepada mahkamah.

"Datuk Akberdin sepatutnya menyoal balas saksi pendakwaan ke-6, Elisa Nani Hanafi, yang akan dipanggil untuk memberi keterangan hari ini. Bagaimanapun, saya dengan rendah diri memohon supaya kes hari ini ditangguhkan,” kata Jagjit di hadapan Majistret Nadia Othman.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria berkata, pihaknya bersedia untuk mendengar keterangan Elisa Nani, iaitu adik kepada Emilia pada Isnin.

"Pendakwaan telah menyerahkan salinan pernyataan saksi Elisa Nani kepada pihak pembelaan pada 30 Oktober (Ahad),” kata Zahida.

Jagjit kemudian mengesahkan pihaknya telah menerima salinan pernyataan saksi itu.

SM Faisal, 43, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Emila, 43, yang ketika kejadian adalah isterinya di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas, Brickfields di ibu negara antara pukul 12.30 tengah hari dan 4.30 petang pada 22 November 2015.

Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. —Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram