SEORANG remaja yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Subaru Forester berdepan detik cemas selepas kereta dipandunya terbabit kemalangan sebelum terbakar di Kilometer 38, Lebuh Raya Kesas pada Selasa.
Dalam kejadian pukul 7.30 pagi itu turut melibatkan enam lagi kenderaan yang melalui jalan tersebut.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan di Lebuh Raya Kesas dari arah Shah Alam menghala ke Subang Jaya melibatkan tujuh buah kenderaan.
Keadaan kereta mangsa yang terbakar dalam kejadian tersebut.
"Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku ketika kereta jenis Subaru Forester yang dipandu seorang remaja lelaki tempatan berusia 18 tahun mengubah laluan sebelum melanggar sebuah lagi kereta.
"Pelanggaran tersebut menyebabkan SUV dipandu remaja berkenaan berpusing dan melanggar enam lagi kenderaan yang berada di laluan tersebut," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Tambah Wan Azlan, kemalangan tersebut menyebabkan kereta tersebut terbakar dan pemandu sempat keluar menyelamatkan diri.
Sebanyak tujuh kenderaan dilaporkan terlibat dalam kemalangan tersebut.
"Pemandu kereta lain juga tidak mengalami sebarang kecederaan dalam insiden tersebut.
"Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," jelasnya.
Tambah Wan Azlan, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram