Calon Melayu hanya 'dummy' — Mahdzir Khalid


  • Politik
  • Ahad, 30 Okt 2022

Meletakkan calon Melayu merupakan salah satu taktik DAP meraih kemenangan pada PRU15.

"KEPUTUSAN parti DAP meletakkan calon berbangsa Melayu hanyalah sebagai dummy untuk menunjukkan parti itu majmuk," itu jawapan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid ketika ditanya berhubung pencalonan DAP sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November 2022 ini.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, mencalonkan individu berbangsa Melayu merupakan sebahagian taktik parti tersebut menjelang PRU15.

1796151

"Saya ingat dengan meletakkan individu berbangsa Melayu merupakan sebahagian taktikal parti DAP bagi menunjukkan mereka sebuah parti multiracial.

"Padahal kita tahu keputusan parti hanya dibuat oleh sekumpulan individu di peringkat tertinggi parti sahaja, kemudian mereka menjadikan calon Melayu sebagai dummy," katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Karnival Usahawan Desa (KUD), Kuala Nerang, Kedah pada Ahad.

Tambah Mahdzir, beliau berpandangan tindakan parti tersebut hanya mahu menunjukkan mereka mampu menyaingi Umno dalam PRU15.

"Kita tahu mereka tak akan menang pun tapi nak letak juga calon Melayu untuk menunjuk. Mereka juga akan menunjukkan peratusan tinggi kepada umum bahawa calon tersebut mampu menang.

WhatsApp Image 2022-10-30 at 2.41.11 PM

Datuk Seri Mahdzir Khalid

"Namun sekiranya tidak menang, mereka akan meletakkan kegagalan kepada calon Melayu tersebut selain menunjukkan usaha mereka menjadi sebuah parti majmuk.

"Saya fikir dalam masyarakat majmuk di negara ini, kita hidup secara sederhana dengan pelbagai kaum tetapi parti DAP sendiri sudah dikenali sebagai parti ekstrem untuk bangsa Cina," jelasnya.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 19 November 2022 sebagai hari pengundian bagi PRU15 dan tempoh berkempen selama 14 hari.

Sementara itu, tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 5 dan 15 November 2022. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram