PRU15: Calon nomad strategi licik, tiada DNA anak jati fahami isu kawasan


  • Politik
  • Sabtu, 29 Okt 2022

Pelbagai strategi digunakan parti politik untuk meraih kemenangan pada PRU15 kali ini.

SEJAK beberapa hari lalu, beberapa parti politik sudah mula menyenaraikan nama-nama calon bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.

Apa yang menjadi tumpuan apabila terdapat sesetengah parti menamakan calon dari luar kawasan untuk bertanding.

Penganalisis politik, Dr Tawfik Yaakub berkata, calon nomad ini mungkin sebagai satu sentakan psikologi kepada pihak lawan atau strategi menawan hati pengundi di sesuatu kawasan.

vote

"Saya berpandangan bahawa calon nomad atau pelarian politik ini merupakan satu kelicikan sesebuah parti politik dalam merangka strategi meraih kemenangan.

"Tujuan utama strategi ini menjadi pilihan supaya dapat membuka kubu baru di kawasan yang ditandingi mereka. Sebagai contoh, pada PRU sebelum ini kawasan tersebut tidak dimenangi atau kubu yang sukar ditembusi.

"Parti politik ini merangka strategi dengan meletakkan satu tokoh atau figura yang hebat dengan tujuan merampas kawasan tersebut," katanya kepada Majoriti.

dr tawfik

Dr Tawfik Yaakub

Tambah Tawfik, beliau kurang bersetuju dengan strategi nomad politik yang digunakan parti politik dalam meraih kemenangan pada PRU15.

"Bagi saya, nomad politik tidak sesuai kepada pengundi setempat kerana mereka memerlukan wakil rakyat yang mampu berkhidmat untuk mereka sekiranya berlaku sesuatu perkara.

"Keperluan rakyat harus difahami termasuk keadaan dan sosial ekonomi di sesuatu kawasan. Calon nomad tiada DNA sebagai anak jati yang memahami keadaan sebenar di kawasan mereka.

"Bagaimanapun, ia mungkin strategi yang boleh meraih kemenangan sekiranya calon nomad itu merupakan seseorang yang terkenal dengan ketokohan dan kewibawaan mereka. Apa yang lebih penting ialah menyelami hati dan denyut nadi rakyat," jelasnya.

Berikut, Majoriti senaraikan beberapa calon nomad yang dijangka akan bertanding dalam PRU15 kali ini:

PKR de facto leader Datuk Seri Anwar Ibrahim with Pakatan candidate Wong Siew Ki at the

Datuk Seri Anwar Ibrahim

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan akan bertanding di kerusi Parlimen Tambun, Perak.

Pengumuman itu secara tidak langsung menyaksikan jangkaan pertembungan dengan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang menyandang kerusi Parlimen Tambun selepas menang atas tiket Pakatan Harapan (PH).

Beliau meninggalkan kerusi Parlimen Port Dickson yang dimenanginya selepas menewaskan enam pencabar yang terdiri daripada calon bebas dan PAS, dalam pilihan raya kecil pada Oktober 2018.

Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menjadi Perdana Menteri sekiranya gabungan itu menang PRU15 kelak.

Vice-President of PKR, Shamsul Iskandar give his speech during PKR congress in Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam. FAIHAN GHANI/The Star.

Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin

Bekas Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menjadi pertaruhan besar PKR untuk bertanding di kubu kuat Umno pada PRU15.

Penyandang kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya di Melaka itu diumumkan sebagai calon untuk bertanding di kerusi Parlimen Bagan Datuk, iaitu kerusi disandang Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Shamsul dikenali sebagai 'giant killer' PKR selepas menewaskan bekas Ketua Menteri Melaka pada PRU13, Tun Mohd Ali Rustam.

PETALING JAYA, 26 Okt -- Ahli Pakatan Harapan Nik Omar Nik Abdul Aziz ketika hadir pada sidang media pengumuman menamakan calon-calon oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di Ibu Pejabat PKR hari ini.-- fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Nik Omar Nik Abdul Aziz

Nik Omar merupakan anak kepada bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat antara pemimpin politik Amanah.

Beliau dipercayai ditawarkan sebagai calon kerusi Parlimen menerusi tiket PH dan akan bertanding di Perak namun masih tiada lokasi tepat diumumkan.

Untuk rekod, Nik Omar sebelum ini pernah bertanding di bawah bendera Parti Keadilan Rakyat dalam PRU14, namun tewas kepada calon PAS, Ahmad Fathan Mahmood.

Exclusive interview with Khalid Samad

Khalid Abdul Samad

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad disahkan bertanding di kerusi Parlimen Titiwangsa pada PRU15 selepas tiga penggal bertanding di Parlimen Shah Alam.

Khalid dijangka bersaing dengan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Khalid merupakan penyandang Parlimen Shah Alam sejak 2008, apabila beliau memenangi kerusi itu ketika mewakili PAS dalam gabungan Pakatan Rakyat dan kali kedua pada 2013, sebelum mempertahan Shah Alam buat kali ketiga apabila bertanding mewakili Amanah dalam gabungan PH.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 19 November 2022 sebagai hari pengundian bagi PRU15 dan tempoh berkempen selama 14 hari.

Sementara itu, tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 5 dan 15 November 2022.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram