Lapangan Terbang Lawas tutup 3 hari akibat banjir


  • 112
  • Selasa, 01 Nov 2022

Lapangan terbang tersebut dijangka dibuka semula setelah banjir reda dan selepas selesai proses pembersihan. — Facebook/ JPBN

LAPANGAN Terbang Lawas yang terletak kira-kira 1,042 kilometer (km) ke utara Kuching ditutup sementara bermula Selasa susulan banjir kilat pada Isnin.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Datuk Khirudin Drahman berkata, penutupan itu dijangka selama tiga hari bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan landasan yang berlumpur akibat banjir berkenaan.

Sementara itu, mangsa banjir di Bintulu yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Suarah Bintulu telah dipindahkan ke PPS Stadium Muhibbah.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak menjelaskan bahawa kesemua 50 mangsa daripada 15 keluarga itu terpaksa dipindahkan ke lokasi tersebut memandangkan Dewan Suarah Bintulu akan digunakan untuk persiapan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Mereka yang terjejas itu adalah dari Kampung Kemunting, Kampung Assyakirin, Desa Damai, Kampung Baru dan Bukit Orang,” jelasnya dalam satu kenyataan rasmi.

Menurut JPBN sehingga 3 petang Selasa, seramai 22 penduduk daripada 10 keluarga telah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

"JPBN Sarawak akan terus memantau situasi semasa terutamanya di kawasan berisiko banjir bagi memastikan keselamatan penduduk,” tambahnya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

banjir, Lawas, Bintulu, Sarawak, JPBN