LAMBAKAN pengemis khususnya warga asing di negara ini dilihat semakin membimbangkan dan menimbulkan kegusaran pada orang awam.
Bermodalkan aksi raih simpati kononnya sakit, membawa kanak-kanak dan menunjukkan kecacatan, itu antara taktik licik mereka bagi mendapatkan hasil sumbangan orang ramai.
Majoriti pada Ogos lalu pernah melaporkan aksi seorang pengemis dipercayai warga Rohingya melakukan kegiatan meminta sedekah bertempat di lampu isyarat simpang empat di Cheng, Melaka sehingga menimbulkan kegusaran orang awam.
Sudah tiga bulan berlalu, sindiket pengemis berkenaan dipercayai masih lagi 'mencari rezeki' di lokasi sama.
Menerusi satu rakaman terbaharu di laman Twitter Isu Semasa Viral, seorang pengemis berjalan terhincut-hincut meminta sedekah daripada deretan kereta yang berhenti di persimpangan jalan.
"Malaysia Darul Rohingya," ciapnya.
Dia kemudian didatangi perakam yang mengkritik perbuatan lelaki itu mendapat wang mudah dengan cara mengemis dari sebuah kereta ke kereta lain.
Sedar dirinya diekori, pengemis itu cuba melarikan diri dengan melintas ke seberang jalan. Dia tidak menghiraukan kenderaan yang lalu lalang dan terus berjalan bagi mengelakkan dirinya terus dirakam.
Dalam video tersebut, warga asing berkenaan masih lagi menggunakan modus operandi yang sama iaitu memakai pendakap leher untuk menagih simpati orang ramai.
Turut kedengaran suara perakam meminta agar pihak kerajaan negeri untuk mengambil tindakan segera ke atas lambakan kehadiran pengemis warga asing yang dilihat semkain berleluasa di Melaka.
"Geram tahu, datang sini minta sedekah dan mengganggu lalu lintas. Sudah selalu dan kerap sangat. Kalau bangsa kita sendiri susah nak cari makan.
"Dia (warga asing) kurang ajar, melampau sebab sudah lama sangat dekat sini. Macam tidak ada tindakan.
"Tolong fikirkan sesuatu kerajaan dan kerajaan negeri. Di kawasan bank pun dah terlalu banyak sangat mereka ini.
"Ini semua penipu dan kurang ajar sebab sudah terlalu banyak mereka di sini. Sepatutnya kerajaan perlu cari jalan penyelesaian.
"Buat penempatan sementara seperti Pulau Bidong. Mereka ini sudah melampau," katanya dalam keadaan marah.
Video berdurasi kurang seminit itu mendapat lebih daripada 95,000 tontonan sejak Sabtu.
Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan daripada pihak yang terbabit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram