NASIB seorang gelandangan yang kudung sebelah kaki akibat kencing manis berubah selepas menerima bantuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) baru-baru ini.
Difahamkan, individu dikenali sebagai Muhammad Abdullah, 63, pernah tinggal di rumah keluarga sekitar Meru, Klang namun telah dihalau dan dibiarkan hidup gelandangan di lorong kedai sekitar Klang tanpa apa-apa sumber kewangan.
Ismail Abi Hashim
Ketua Cawangan Skuad Prihatin dan Sinergi Perkeso, Ismail Abi Hashim berkata, mangsa merupakan seorang lelaki warga emas berusia 63 tahun yang kudung kaki kanan dan pernah beberapa kali diserang angin ahmar.
"Atas makluman seorang aktivis sosial, mangsa ditemui di belakang sebuah kedai di Klang, Selangor dalam keadaan menyayat hati dan tidak terurus.
"Hasil maklumat dan bantuan dari aktivis yang dikenali sebagai Puan Fatimah ini, Perkeso telah membuat semakan dan mendapati mangsa merupakan penerima pencen kilat," katanya kepada Majoriti.
Mangsa menerima kunjungan dan bantuan Perkeso.
Tambah Ismail, mangsa telah dibantu dan ditempatkan di sebuah rumah tumpangan sementara di Bukit Kuda, Klang, Selangor.
"Kita juga telah mendaftarkan mangsa ke MySinergi bagi menyalurkan maklumat berkaitan tempat perlindungan dan jenis bantuan yang layak.
"Pusat Zakat Selangor juga menyalurkan bantuan dengan menyediakan rumah sewa yang lebih selesa di sekitar Klang dan menguruskan sewa bulanan rumah tersebut," jelasnya.
Ismail memberitahu, urusan harian mangsa masih dijaga oleh Puan Fatimah dan akan dibayar elaun penjagaan secara bulanan.
"Kita difahamkan, mangsa sebelum ini pernah menerima bantuan kewangan secara bulanan namun digunakan sepenuhnya oleh saudaranya sebelum dihalau keluar.
"Kita harap dengan bantuan sebanyak RM936.85 setiap bulan ini dapat membuka lembaran baharu kepada mangsa untuk meneruskan kehidupan yang lebih baik.
"Pada masa sama, Perkeso menghargai bantuan dan maklumat yang disalurkan dari semua pihak yang terlibat untuk membantu mangsa," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram