MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin meminta Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) serta mana-mana kumpulan hak asasi manusia supaya jangan campur tangan dalam urusan penghantaran pulang pelarian dari Myanmar ke negara asal mereka.
Beliau berkata, warga asing yang ditahan seterusnya dihantar pulang ke negara asal bermakna mereka telah melanggar undang-undang Malaysia.
"Bukan hanya Myanmar, bukan hanya datang dari sesuatu negara tetapi seluruh dunia yang datang sini melanggar undang-undang ada kesalahan dan sudah sampai tempoh untuk kita hantar balik, kita hantar balik.
"Jadi UNHCR, United Nations (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) ke atau mana-mana sekalipun kalau orang yang kita tangkap itu masuk ikut cara sah dan mempunyai dokumen , kemudian melanggar undang-undang dan dihukum, kita akan hantar balik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Kita Demi Negara - Zon Timur yang dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, di Dataran Lembah Sireh, Kelantan pada Khamis.
Hamzah berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan Human Rights Watch (HRW) yang berpangkalan di New York supaya kerajaan menghentikan penghantaran pulang pencari suaka politik dari Myanmar kerana meletakkan nyawa mereka dalam bahaya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya turut memahami ada warga asing yang datang ke negara ini sebagai pelarian dan pencari suaka politik.
"Kita pun faham dan sedar, dari segi kemanusiaan kita tidak akan hantar orang yang akan menyebabkan mereka nanti 'hilang' di negara asal. Kita tidak akan melakukan perkara yang boleh menyebabkan kezaliman terhadap individu yang dihantar pulang," katanya.
Mengenai cadangan untuk menutup pejabat UNHCR, Hamzah berkata, perkara itu masih diteliti.
"Kita sedang meneliti dan akan buat keputusan sama ada UNHCR patut ada di sini atau tidak. Sebagai sebuah negara yang bermaruah, saya patut jaga negara kita dulu sebelum menjaga orang luar," katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram