POLIS mengesahkan ibu bapa dua orang kanak-kanak yang bermain di tepi balkoni tingkap berada di dalam rumah ketika kejadian berlaku.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, kejadian yang berlaku di sebuah kondominium di Jalan Langkawi, Setapak, Kuala Lumpur itu melibatkan kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dan kanak-kanak lelaki berusia dua tahun.
"Susulan itu, ibu bapa kanak-kanak itu telah dipanggil Bahagian (D11) Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Selasa.
"Difahamkan kedua-dua mereka telah dibenarkan pulang dan pegawai penyiasat sedang melengkapkan siasatan untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Terdahulu, tular satu video berdurasi 10 saat yang memaparkan kejadian kanak-kanak bermain di tepi balkoni sebuah kondominium.
Hasil siasatan mendapati ketika kejadian ibu bapa mangsa berada di dalam rumah dan tidak menyedari kejadian berlaku.
Tambahnya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak (2001) dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram