
RAKYAT Johor secara umumnya mengalu-alukan cadangan kerajaan menukar sistem perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada skim pencen.
Kakitangan pembangunan hartanah, Suria Mohd Sidin, 35, berkata, fungsi Perkeso boleh diperluaskan untuk menampung pencarum sekiranya berlaku kemalangan atau kematian.
"Setakat ini, Perkeso hanya dilihat sebagai sumber bantuan kepada mangsa yang mengalami kemalangan ketika bekerja. Tetapi saya percaya perkara itu boleh ditambah baik untuk meberi perlindungan yang lebih holistik kepada pencarum.
"Sebagai contoh di negara Eropah, isteri kepada pekerja lelaki tidak perlu membayar kos bersalin kerana mereka juga dilindungi di bawah faedah keselamatan sosial," katanya.
Suria, yang menetap di Johor Baru, jumlah caruman boleh dipindahkan kepada warisnya.
"Jika pencarum tidak pernah membuat sebarang tuntutan, maka caruman itu boleh dipindahkan kepada warisnya," katanya.
Sementara itu, Arlyn Avelyn, 46, yang memiliki sebuah kafe di Johor Baru, berkata, kerajaan tidak seharusnya memansuhkan faedah semasa Perkeso kerana ia satu-satunya perkara yang membezakannya daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
"Idea yang baik untuk menjadikan Perkeso sebagai skim pencen tetapi pada masa yang sama, mereka tidak seharusnya menghapuskan faedah semasa yang diberikan kepada pencarum.
"Simpanan KWSP daripada Akaun 1 hanya boleh dikeluarkan pada umur tertentu dan Akaun 2 untuk sebarang kes mendesak, manakala Perkeso pula apabila pekerja dimasukkan ke hospital dan tidak mampu membayar bil.
"Jadi, jika Perkeso boleh dipertingkatkan menjadi seperti skim pencen sambil mengekalkan faedah semasa, itu adalah lebih baik daripada KWSP dan lebih ramai boleh mendapat manfaat daripadanya kerana ia terbuka kepada semua jenis pekerja, termasuk mereka yang bekerja sendiri," katanya.
Eksekutif komunikasi, Muhammad Ariff Mohamad Nizam, 30, yang juga bekerja di bandar itu berkata, langkah itu akan meletakkan pekerja membayar khidmat yang sama sebanyak dua kali.
"Sepatutnya terdapat perbezaan yang jelas antara kedua-duanya dan jika kerajaan memutuskan untuk menambah baik Perkeso menjadi seperti KWSP, maka mengapa kita perlu membayar kedua-duanya sedangkan kita boleh memilih satu?
"Dengan keadaan semasa, saya tidak fikir mana-mana pekerja mahu gaji mereka dipotong lagi," katanya sambil menambah peranan KWSP dan Perkeso tidak sepatutnya bertindih.
Bagi kerani pejabat, Yeo Siew Li, 36, perubahan itu akan membantu rakyat Malaysia secara keseluruhan, lebih-lebih lagi negara kini menuju ke arah masyarakat yang semakin tua.
"Ramai di antara kita tidak mempunyai sebarang simpanan untuk menampung perbelanjaan di kemudian hari, jadi skim ini mungkin berguna satu hari nanti.
"Pada masa yang sama, ini mungkin yang terbaik untuk mereka yang bekerja di Singapura kerana mereka mempunyai kemampuan untuk mencarum dengan KWSP dan Perkeso," katanya.
Pada 20 September lalu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, pihaknya sedang merancang untuk mengubah Perkeso menjadi skim seperti pencen yang boleh menyediakan jaringan keselamatan lebih baik untuk pekerja sektor swasta berumur 60 tahun ke atas.
Katanya, pekerja sektor swasta menyumbang kepada Perkeso sepanjang mereka bekerja dan hanya selepas berumur 60 tahun, mereka mungkin memerlukan rawatan kesihatan dan sedangkan wang simpanan sudah habis.
Tambahnya, terdapat keperluan untuk melihat semula peratusan caruman Perkeso kerana tiada sebarang kenaikan dicatatkan sejak 1971. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram