SEORANG lelaki cedera parah apabila sebuah lori seberat 10 tan merempuh lori yang dinaikinya, di daerah Tuaran, Sabah pada Selasa.
Ketika kejadian, mangsa berusia 57 tahun dikenali sebagai Hendry Jundab itu sedang menjalankan kerja di tepi bukit di Taman Sri Gayang Jalan Sulaman apabila sebuah lori sarat tanah dari bahagian atas bukit itu terjatuh dan merempuh lori yang dinaikinya.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Misran Bisara berkata, sebelum kemalangan itu, lori 10 tan yang dipandu seorang lelaki telah terbabas dari cerun bukit dan merempuh dua lagi lori di bawah.
"Pemandu lori 10 tan mengalami kecederaan ringan namun lelaki yang dirempuhnya mengalami kecederaan serius," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Jelasnya, pihaknya menerima panggilan berkenaan kemalangan itu pada pukul 9.27 pagi.
Misran berkata, anggota bomba terpaksa menarik keluar mangsa yang cedera parah apabila tiba di tempat kejadian.
"Pegawai perubatan di tempat kejadian memberi rawatan awal kepada Hendry sebelum membawanya ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya.
Tambahnya, operasi ditamatkan sekitar pukul 11.40 pagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram