'ALLAH tak mahu saya bersama orang jahat', Muhyiddin tidak ‘goyang’ digelar pengkhianat


  • Politik
  • Ahad, 23 Okt 2022

Muhyiddin yakin Bersatu dapat perkukuhkan politik negara.

KEPUTUSAN meninggalkan Pakatan Harapan dibuat demi mengangkat martabat bangsa, agama dan negara, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, beliau tidak kisah dipanggil pengkhianat kerana mengambil keputusan tersebut yang akhirnya menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan pada 2020.

Menerusi hantaran di Facebook, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu mengatakan bahawa gerakan politiknya termasuk menggelar skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) semasa beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri adalah wajar.

“Saya 'ditendang' daripada jawatan itu dan dipecat daripada Umno hanya kerana mengkritik skandal 1MDB. Skandal tersebut merupakan 'rompakan' terbesar dalam sejarah negara dan mencemarkan nama baik Malaysia di mata dunia.

"Tidak mengapa. Mungkin ALLAH tidak mahu saya bersama orang jahat. Saya juga keluar Pakatan kerana tidak tahan dengan tuntutan DAP dan PKR yang tidak wajar dan juga bercanggah dengan tuntutan agama, bangsa dan negara.

“Saya tidak kisah dilabel sebagai pengkhianat, kerana saya lebih suka tidak mengkhianati bangsa, agama dan negara saya,” kata Muhyiddin.

Dalam pada itu, beliau menyeru pengundi untuk menyokong Perikatan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana itu merupakan satu-satunya gabungan yang boleh membentuk kerajaan yang berintegriti.

“Saya tahu masih ramai rakyat Malaysia yang bergelut akibat kesan pandemik Covid-19. Insya-ALLAH jika Perikatan diberi peluang untuk membentuk kerajaan, kita akan lakukan yang terbaik untuk kepentingan rakyat.

“Kepada pengundi, buatlah keputusan yang bijak. Hanya Perikatan yang boleh membentuk kerajaan yang berintegriti. Tiada pilihan lain selain Perikatan,” jelasnya.

Untuk rekod, Muhyiddin dipecat daripada menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 2016 kerana dipercayai menentang bekas Perdana Menteri itu.

Kemudian, beliau menubuhkan Bersatu yang bekerjasama dengan Pakatan sekali gus berjaya menawan Kerajaan Persekutuan pada PRU14.

Bagaimanapun, Langkah Sheraton pada Februari 2020 menyaksikan pembelotan beberapa Ahli Parlimen daripada Pakatan sehingga menyebabkan Kerajaan Persekutuan runtuh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram