HIDANGAN makanan segera antara menu yang paling digemari oleh setiap lapisan masyarakat tanpa mengira peringkat usia.
Cepat dan mudah menjadi antara tarikan pelanggan untuk menikmati juadah bersama keluarga dan rakan-rakan sekali gus merakam memori indah.
Bagaimanapun seorang pelanggan berdepan dengan pengalaman menggelikan apabila mendakwa seekor lipas ditemui dalam minumannya yang dibeli di restoran makanan segera berkenaan.
Kejadian yang dipercayai berlaku di sebuah cawangan McDonald’s dalam negara pada Khamis itu dimaklumkan oleh pemilik akaun TikTok syfqh.eyka.
Terdapat dua rakaman video yang dimuat naik olehnya menunjukkan lipas tersebut ada di dalam bekas minuman.
Individu itu mendakwa, awalnya dia tidak menyedari kehadiran serangga berkenaan, namun berasa ragu kerana bekas minuman tersebut mempunyai bau lipas.
Rakaman video seekor lipas dalam bekas minuman.
Setelah hampir hampir minuman itu diminum, barulah dia membuka penutup dan melihat lipas berkenaan.
“Lepas ini hati-hati jika hendak membeli makanan segera atau apa-apa sahaja. Periksa dahulu dalam tu ada binatang atau tidak.
“Jangan terkena macam aku. Pengurus McD pun perlu ambil tindakan benda macam ini bukan cuma nak gantikan dengan air baru saja.
“Ini bukan pasal air, tapi pasal kesihatan boleh jadi keracunan makanan. Naya kat orang macam ini,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Sementara itu, berdasarkan tinjauan Majoriti di ruangan komen, beberapa individu sebelum itu mendakwa, insiden tersebut berlaku di cawangan Damansara Uptown 3, Petaling Jaya, Selangor.
Lokasi tersebut diketahui berdasarkan gambar resit pembelian yang diletakkan bersama bekas minuman dan lipas di atas kaunter.
Bagaimanapun, syfqh.eyka akhirnya mengesahkan insiden terbabit terjadi di cawangan Shell Seksyen 13, Shah Alam, Selangor.
“Ya mana tanya. Ini dekat Mcd Shell Seksyen 13 Shah Alam,” kata hAkak pOlis.
“Betul hakak polis,” kata syfqh.eyka.
“Ya ALLAH lipas besar wei. Kembang tekak den oi,” katanya Tulipss.
“Mungkin tidak cukup kakitangan untuk buat pembersihan harian. Harapkan pembersihan ketika masa tutup je. Nozel mesin minuman ringan pun perlu diperiksa selalu,” kata Bella.
Majoriti masih menunggu kenyataan daripada pihak McDonald’s mengenai perkara itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram