Abdul Hadi mengaku dalang di sebalik Langkah Sheraton


  • Politik
  • Sabtu, 22 Okt 2022

Abdul Hadi mengaku berbincang dengan Muhyiddin bagi memulakan Langkah Sheraton pada 2020. — Bernama

PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengaku bahawa beliau merupakan dalang di sebalik Langkah Sheraton yang bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan pakatan Harapan (PH) pada 2020.

Penyandang kerusi Parlimen Marang itu mendedahkan bahawa beliau membincangkan kaedah menggulingkan gabungan berkenaan bersama Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Abdul Hadi menjelaskan tindakan itu diambil setelah sesetengah pihak dalam Pakatan mahu menghapuskan kedaulatan Islam serta hak istimewa orang Melayu dan bumiputera.

"Saya percaya rakyat sudah tahu bahawa pemimpin-pemimpin Pakatan adalah anti-Islam.

"Ketika mereka memerintah, mereka mahu meratifikasi Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang mana dibantah rakyat ketika itu,"katanya seperti dilapor portal Harakahdaily pada Sabtu.

Pada 2019, terdapat perancangan untuk meratifikasi Statut Rom, namun Malaysia kemudiannya menarik diri selepas ramai pihak menyuarakan kebimbangan mereka terhadap impak ICC terhadap kedudukan Raja-Raja Melayu dah hak istimewa orang Melayu.

Berikutan peristiwa tersebut, Abdul Hadi berkata, beliau memulakan usahanya untuk berunding dengan Muhyiddin bagi menjatuhkan kerajaan Pakatan.

Beliau berkata, selepas Muhyiddin bersetuju, perbincangan diadakan dengan Umno.

“Keputusan ini kemudian membawa kepada langkah yang mana Muhyiddin mengumumkan beliau meninggalkan Pakatan.

“Saya kemudian mencadangkan beliau menjadi calon perdana menteri baharu kita.

“Umno juga bersetuju dengan perkara ini pada masa itu, dan tidak lama kemudian, kerajaan Perikatan Nasional ditubuhkan bagi menggantikan pentadbiran Pakatan,” katanya.

Menafikan bahawa kerajaan Perikatan adalah 'kerajaan pintu belakang,' Abdul Hadi berkata, pelantikan Muhyiddin diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram