Isu tidak beriman, Amanah heret Presiden PAS ke Kesatuan Ulama Dunia


  • Politik
  • Jumaat, 16 Sep 2022

Abdul Hadi (kiri) dituduh melemparkan dakwaan golongan tidak beriman dalam kalangan pemimpin PH, kata Salahuddin. — Sinar Harian

TIDAK senang dengan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang sewenang-wenangnya melabelkan orang lain tidak beriman, Parti Amanah Negara (Amanah) akan membuat aduan kepada Kesatuan Ulama Islam Sedunia.

Menurut Timbalan Presidennya, Datuk Seri Salahuddin Ayub, tindakan itu akan dibuat kepada Kesatuan Ulama Islam Sedunia tentang semua kenyataan beliau (Abdul Hadi) yang merendahkan orang lain, mengatakan orang lain tak beriman.

Katanya, sikap ditonjolkan Abdul Hadi langsung tidak mencerminkan dirinya sebagai seorang ulama dan disifatkan melampau.

"Adakah itu akhlak ulama? Saya pun tak faham. Jadi kita akan buat aduan tentang apa-apa yang dia cakap, pada bila-bila masa dan mungkin boleh menghantarnya melalui email pada malam ini," katanya pada sidang akhbar selepas hadir merasmikan Konvensyen Angkatan Wanita Amanah (Awan) pada Jumaat.

Turut hadir, Ketua Awan, Aiman Athirah Sabu dan Pengerusi Majlis Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau secara sindiran berkata, hanya Abdul Hadi yang tahu berkenaan agama Islam daripada orang lain dan disebabkan itu beliau dengan mudah menuduh orang lain sebegitu.

"Dia ulama besar. Dia tahu Islam lebih dari kita semua. Sepatutnya kalau tuduh itu perlu ada bukti.

"Itu akhlak dan cara Islam sebenar. Dia pun tahu kalau nak tuduh orang perlu ada bukti," jelas beliau.

Ujarnya, bukan kali pertama pemimpin Pas itu mengeluarkan kenyataan seumpama itu.

Media sebelum ini melaporkan Abdul Hadi berkata, ramai dalam kalangan Pakatan Harapan (PH) yang tidak beriman dan tidak bermoral yang mana secara terbuka mengumpulkan kumpulan pemberi rasuah dan penerima rasuah.

“Paling ramai pihak yang melompat parti bukan alasan yang berprinsip tetapi mengejar janji-janji manis dan janji bohong (seperti rasuah juga).

"Mereka mengamalkan politik dendam melalui kenyataan terbuka yang mengganggu-gugat urusan pentadbiran negara dan menyusahkan badan kehakiman,” katanya dalam catatan Minda Presiden. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram