PENINGKATAN nilai harga emas sejak 1970-an hingga kini menjadikan ia sebagai satu pelaburan yang sesuai untuk risiko rendah untuk tempoh jangka panjang.
Perkara itu diakui oleh Pensyarah Kanan Putra Business School, Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff yang menyifatkan pelaburan emas dapat dijadikan sebagai satu cabang aset dan berguna pada masa akan datang.
“Dalam pada keadaan negara yang akan berdepan dengan krisis ekonomi, melabur dalam sektor emas dapat membantu untuk jangka masa panjang.
“Namun, individu yang memiliki aliran tunai yang lancar dan kukuh amat digalakkan. Perkara ini kerana wang yang digunakan untuk pelaburan tidak boleh diguna untuk jangka masa pendek atau kecemasan,” katanya kepada Majoriti.
Dalam pada itu, Ahmed Razman turut memberitu pelaburan emas mempamerkan trend jangka masa pendek.
Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff
Perkara itu berlaku, jelasnya, apabila pembeli berlumba-lumba membeli barangan kemas atau melakukan pelaburan emas apabila harga pasaran menurun.
“Mereka beli ketika harga turun dan sebaik sahaja harga kembali naik, mereka akan menjual semula. Memang boleh menjana keuntungan, tetapi perkara ini dilihat agar berisiko jika tidak kena cara,” ujarnya.
Tegas Ahmed Razman, pengetahuan dalam bidang pelaburan penting tidak mengira sama ada mencari mentor atau buku agar dapat memahami selek belok pasaran.
“Jangan terlalu terikut dengan kata-kata orang sekeliling atau desakan daripada keluarga. Sebaiknya belajar buat keputusan sendiri,”jelasnya.
Mengulas lanjut, Ahmad Razman turut menyenaikan kelebihan tentang pelaburan emas berbanding pelaburan wang dengan institusi kewangan.
Pelaburan emas
1. Risiko
Bergantung kepada harga pasaran global, namun kenaikan yang positif dapat dilihat pada setiap tahun. Disebabkan itu pelaburan emas sesuai untuk jangka masa panjang.
2. Cabaran
Memerlukan aliran wang yang kukuh agar tidak memberi kesan jika berdepan dengan keadaan kecemasan. Bagi mendapatkan pulangan yang tinggi, jumlah pelaburan juga perlu seimbang dengan risiko dan keuntungan yang ingin dicapai. Semakin tinggi untung, semakin tinggi jumlah pelaburan.
3. Masalah
Tindakan yang terburu-buru untuk melabur dengan cara melakukan pinjaman tanpa mengetahui harga pasaran semasa antara satu kesilapan yang perlu dielakkan. Beli emas pada harga mahal kemudian pasaran menurun dan ini menyebabkan kerugian. Tiada wang lebihan atau simpanan untuk masa depan.
Pelaburan wang dengan institusi kewangan
1. Risiko
Bergantung kepada keuntungan institusi kewangan. Sekiranya organisasi mempamerkan angka positif, maka bayaran dividen atau bonus turut akan menjadi tinggi.
2. Cabaran
Kurang cabaran memandangkan simpanan mengikut kemampuan selain diberikan beberapa pilihan bayaran dan tempoh masa yang dinginkan.
3. Masalah
Melakukan pelaburan dengan institusi kewangan tidak melibatkan pinjaman kerana lebih bersifat simpanan jangka masa panjang. Bagaimanapun masalah berlaku jika individu mengalami masalah kewangan dan gagal meneruskan pembayaran. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram