Jangan manjakan penjaja 'traffic light' hingga ragut nyawa orang lain


  • Massa
  • Selasa, 13 Sep 2022

Pengguna jalan raya seharusnya tidak menyokong penjualan penjaja di persimpangan lampu isyarat. — Sinar Harian

PERASAAN simpati dan kasihan terhadap penjaja di persimpangan lampu isyarat menjadi antara punca pembeli menyokong perniagaan mereka.

Meskipun sudah mendapat larangan keras daripada pihak berkuasa, namun amaran itu tetap tidak diendahkan.

Menurut Pengasas Persatuan Mangsa Kemalangan Jalan Raya Malaysia, Azlan Sani Zawawi, pembeli perlu fikir keselamatan penumpang kenderaan termasuk pemanduan kereta lain.

"Tindakan tegas pihak berkuasa perlu diambil kira kerana penjaja seperti tidak ambil peduli akan undang-undang yang sudah dikuatkuasakan.

"Situasi ini turut bergantung pada permit yang dibenarkan ke atas lokasi perniagaan. Jika terlalu hampir dengan laluan jalan raya maka mereka akan mula mengambil kesempatan.

"Penjual juga seperti tidak mempedulikan keselamatan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain dengan membahayakan nyawa mereka," katanya kepada Majoriti.

Azlan memberi kenyataan itu ketika diminta mengulas tentang kejadian kemalangan melibatkan sebuah motosikal dengan Kenderaan Utiliti Sukan (SUV), Nissan Xtrail di Bangi, Selangor baru-baru ini.

Rakaman video seorang penunggang motosikal yang terlibat dalam kemalangan jalan raya akibat penjaja tepi jalan.

Dalam kejadian tersebut kereta di hadapan SUV itu memberhentikan kenderaan semata-mata untuk membeli jeruk mangga daripada seorang penjaja.

Pada masa sama Azlan turut menegaskan tentang perlaksanaan undang-undang yang lebih efisyen termasuk pemantauan di lokasi 'panas' dan sasaran penjaja.

"Apabila sudah ada undang-undang seharusnya segala aspek penguatkuasaan perlu berjalan seiring. Saya bukan hendak menuding jari ke arah sesiapa tetapi kelemahan pihak berkuasa seakan membuka peluang kepada mereka," jelasnya.

Azlan turut menegaskan perkara tersebut sering berlaku ketika musim perayaan sehingga mengakibatkan kesesakan lalu lintas di bahu jalan.

1732039

Tangkap layar seorang penunggang motosikal dilanggar oleh SUV yang secara tiba-tiba menukar laluan.

Aktiviti berniaga itu turut mengakibatkan pembuangan sampah sekali gus mengotorkan persekitaran.

"Kenderaan yang berhenti di bahu dikhuatiri akan mengakibatkan kemalangan. Saliran longkang juga akan tersumbat akibat pembuangan sisa dan sampah hasil urus niaga," ujarnya.

Untuk rekod, Undang-Undang Kaedah 10A (1) Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan 1959 (LN 166/59) penjual ataupun penjaja dan pembeli boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan jika disabitkan kesalahan.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram