Tinggalkan PD strategi Anwar Ibrahim, beri ruang calon lain menang — Penganalisis


  • Politik
  • Jumaat, 21 Okt 2022

Populariti Anwar di Port Dickson tidak boleh disangkal lagi selepas menang besar pada PRK Parlimen itu pada 2018.

BEBERAPA jam selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November 2022 sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya ke-15 (PRU15), Datuk Seri Anwar Ibrahim juga membuat suatu pengumuman pada Khamis.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, beliau akan bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada PRU15, sekali gus menjawab teka-teki mengatakan beliau akan meninggalkan kerusi Parlimen Port Dickson yang disandangnya ketika ini.

Keputusannya bertanding di Parlimen Tambun menyaksikan beliau mungkin bertembung dengan penyandang, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, jika Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mempertahan kerusi berkenaan pada PRU15.

Mengulas mengenai perkara itu, Prof Madya Dr Jeniri Amir percaya bahawa, keputusan itu merupakan suatu langkah taktikal selepas mengambil kira beberapa faktor yang dinilai secara terperinci.

Penganalisis politik itu juga menolak tanggapan segelintir pihak bahawa, ketua pembangkang itu berniat melepaskan tanggungjawabnya di Port Dickson.

Sebaliknya, katanya, ia merupakan strategi Anwar memberi ruang kepada calon lain untuk bertanding dan menang di kawasan tersebut.

"Jadi, Anwar memang popular di Port Dickson, manakala populariti itu akan melimpah kepada calon yang akan mengganti beliau.

"Ini bermaksud sudah hampir pasti PKR memikirkan bahawa mereka akan menang di kawasan itu dan terserah kepada mana-mana calon parti itu untuk mewakilinya," katanya kepada Majoriti.

1709374

Jeniri Amir

Beliau menambah bahawa, para pengundi jarang menghukum mahu pun membunuh kerjaya politik ketua pembangkang yang berpindah dari satu kawasan ke kawasan lain.

Ini seperti yang berlaku kepada pemimpin veteran, Lim Kit Siang yang sebelum ini pernah menjadi Ahli Parlimen di negeri Melaka, Selangor, Pulau Pinang, Perak dan Johor.

"Jadi, mereka akan cuba pastikan ketua pembangkang berjaya atau memenangi kerusi itu untuk bersuara di Parlimen," ujarnya.

Tambun medan tewaskan BN

Tambah Jeniri Amir, langkah Anwar memilih Tambun bukan sahaja sebagai medan perang untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) di Perak, malah ia juga mampu mengukuhkan pengaruh PH di kawasan tersebut.

Bukan itu sahaja, kemenangan di Tambun juga akan meningkatkan jumlah kerusi PH di peringkat Parlimen.

"Jadi, saya percaya Anwar sebagai pemimpin yang berkarismatik berusaha sebaik mungkin untuk menyemarakkan semangat dan sentimen para penyokong dan pengundi di situ," katanya.

Pada Oktober 2018, Anwar menang besar kerusi Parlimen Port Dickson, dengan majoriti 23,560 undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.

Sementara Ahmad Faizal yang bertanding atas tiket PH menggunakan logo PKR, menang dalam pertembungan tiga penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN) dan PAS, selepas menerima 38,661 undi, dengan majoriti 5,320 undi pada PRU14 untuk Parlimen Tambun.

Pada tahun sama, Tambun merupakan kawasan paling ramai pengundi di Perak membabitkan 107,763 pengundi berdaftar dengan pecahan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi 57,817 pengundi dan DUN Hulu Kinta seramai 49,946 pengundi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram