Bapa kejam dituduh bunuh anak 3 bulan bakal berdepan hukuman mati


Tertuduh turut berdepan tiga lagi pertuduhan di mahkamah sama dengan salah satu daripadanya adalah memasukkan dadah berbahaya jenis methamphetamine — Gambar Astro AWANI

SEORANG lelaki bakal berdepan hukuman mati selepas didakwa Mahkamah Majistret Alor Setar, Kedah pada Khamis atas pertuduhan membunuh bayinya sendiri berusia tiga bulan di kediamannya, dua minggu lalu.

Tertuduh yang bekerja sebagai petani, membunuh Muhammad Annas Muhammad Nasyran di sebuah rumah di Kampung Teluk Jawa, Sungai Lintang, Mukim Padang Hang, Kedah antara pukul 9 malam, 4 Oktober 2022 hingga 1.30 tengah hari, 10 Oktober 2022.

Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman mati.

Namun, tiada pengakuan direkodkan daripada Muhammad Nasyran Zamzury, 28, selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor.

Pada masa sama, tertuduh turut berdepan tiga lagi pertuduhan di mahkamah sama dengan salah satu daripadanya adalah memasukkan dadah berbahaya jenis methamphetamine ke dalam dirinya sendiri, tanpa kebenaran pihak berwajib.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 7 petang, 10 Oktober lalu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

Tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 itu dengan tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 18 Disember 2022, sementara menanti laporan patologi.

Selepas itu, tertuduh kemudiannya mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mencederakan bekas teman wanitanya yang kini berusia 26 tahun pada 2019.

Kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 7 pagi, 5 Mei 2019 di sebuah bilik sewa di Jalan Meranti Off Jalan Putra.

Kes tersebut ditetapkan untuk disebut semula pada 20 November depan sementara menanti serahan semula dokumen dengan tiada jaminan ditawarkan.

Untuk pertuduhan terakhir, Mahkamah menjatuhkan hukuman 14 bulan penjara terhadap tertuduh setelah dia mengaku bersalah dengan sengaja mencederakan isterinya, Siti Nur Kamalia Kamaruddin, 22.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 4 Oktober lalu kira-kira pukul 5 petang di sebuah rumah di Kampung Teluk Jawa, Mukim Padang Hang, Kedah.

Pertuduhan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama.

Kesemua pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Negeri, Nurfatin Mastura Asri manakala tertuduh hanya diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Zuriyah Mohd Nordin untuk pertuduhan terakhir dihadapi iaitu mencederakan isterinya.

Bagi tiga lagi pertuduhan dihadapi, tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh dan menetapkan 30 Januari depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan perubatan dan kimia. — Astro Awani

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram