Niat curi ekzos berakhir tragedi, lelaki maut dihempap kereta di Kuala Langat


  • 112
  • Khamis, 20 Okt 2022

SEORANG lelaki maut dihempap kereta dipercayai ketika sedang melakukan jenayah curi ekzos kenderaan itu di tepi jalan di Taman Jaya Utama, Telok Panglima Garang pada Rabu. — Bernama

NIAT seorang lelaki untuk mencuri ekzos kenderaan di Taman Jaya Utama, Telok Panglima Garang, Kuala Langat, Selangor berakhir tragedi apabila dia maut dihempap kereta tersebut.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku sekitar pukul 4 hingga 6 pagi.

Menurutnya, polis dimaklumkan kejadian itu selepas menerima maklumat daripada pembantu perubatan Klinik Kesihatan Telok Panglima Garang yang mengatakan telah merawat seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an yang telah meninggal dunia di tepi sebuah kenderaan jenis Honda Accord.

"Tiba-tiba alat pengangkat kereta yang digunakan telah terjatuh sebelum kereta itu menghempap si mati," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, kira-kira jam 10.45 pagi hari yang sama, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat dan pasukan ronda cegah jenayah Balai Polis Telok Panglima Garang telah berjaya menahan rakan sejenayah si mati di sekitar kawasan Telok Panglima Garang.

"Suspek berusia 32 tahun ini didapati memiliki tujuh rekod jenayah dan dua kes dadah.

"Suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Banting untuk siasatan di bawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram