Terpaksa sambut Deepavali tanpa muruku gara-gara minyak masak tiada stok


  • Massa
  • Rabu, 19 Okt 2022

Masyarakat India menggesa pemantauan pihak berkuasa berhubung kekurangan minyak masak menjelang sambutan Deepavali. — Gambar hiasan

KEKURANGAN bekalan minyak masak paket di pasaran menyukarkan masyarakat India untuk membuat persediaan sempena menyambut perayaan Deepavali.

Menurut Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), NV Subbarow, kekurangan dan kelewatan bekalan secara tidak langsung mengganggu penyediaan hidangan masyarakat India seperti muruku dan vadai.

“Sejak beberapa minggu lalu ramai suri rumah warga India menghadapi masalah untuk mendapatkan minyak masak paket untuk membuat kuih Deepavali.

“Pihak kami turut menerima aduan yang mengatakan mereka tidak dapat membeli sebungkus dari kedai kerana kerap kehabisan minyak paket,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Melihat kepada situasi itu, CAP menggesa Kementerian Dalam Negeri, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk campur tangan bagi mengurangkan beban masalah kekurangan minyak masak paket bersubsidi.

A vendor prepares food for a customer on his pushcart in New Delhi on December 21, 2021. (Photo by Jewel SAMAD / AFP)

Kekurangan minyak masak dilihat menjejaskan persiapan sambutan Deepavali — AFP

“Walaupun tidak berlaku sebarang kenaikan harga, tetapi kekurangan minyak masak paket ini menggnggu dan menghadkan persediaan sambutan.

“Diharapkan Kementerian dapat membantu dan turun padang untuk melihat sendiri penjualan minyak masak paket.

“Kementerian juga perlu menambah bekalan kerana ramai keluarga India yang terdiri daripada kumpulan B40 dan menggunakan minyak masak paket bersubsidi terutama pada musim Deepavali ini,” jelasnya.

Pada masa sama, CAP turut melakukan pendekatan dengan melihat sendiri penjualan minyak masak paket yang kerap habis meskipun bekalannya baru tiba beberapa hari sebelum itu.

“Diharapkan masalah ini akan dapat diselesaikan segera memandangkan perayaan Deepavali hanya tinggal beberapa hari saja lagi,” ujarnya.

Untuk rekod, sebelum ini KPDNHEP berjaya mengesan aktiviti penyelewengan minyak masak subsidi bernilai RM50,587 di Taman Bamboo dan Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pada awal Oktober lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram