SETELAH giat aktif melakukan aktiviti sukarelawan, impian Azwan Omar untuk menubuhkan sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang diberi nama Pertubuhan Gerakan Kebajikan Abang V-va, akhirnya tercapai.
Azwan, 30, yang terkenal dengan gelaran Abang Viva memberitahu, penubuhan NGO tersebut bertujuan untuk membantu golongan yang memerlukan terutama mangsa terkesan akibat bencana alam.
"Bantuan yang diberikan bukan dalam bentuk wang ringgit, tetapi barangan keperluan seperti makanan, peralatan sekolah atau pakaian.
"Selain memberi tumpuan kepada mangsa banjir atau bencana alam, golongan asnaf juga kami akan cuba untuk bantu," jelasnya kepada Majoriti.
Mengulas lanjut, Azwan memberitahu, sumbangan ahli NGO dijadikan sebagai dana untuk membeli keperluan sumbangan.
"Buat masa sekarang kami memiliki tujuh orang ahli. Hasil daripada wang yang kami kumpul itu akan digunakan untuk pertubuhan.
"Sekitar RM300 hingga RM400 akan digunakan untuk membeli keperluan mangsa bagi setiap kali misi bantuan dilakukan," katanya.
Azwan bersama dengan penerima sumbangan daripada pertubuhannya.
Dalam pada itu, Azwan turut mengakui sudah bersedia untuk menjayakan misi menyelamat dalam tempoh masa terdekat jika diperlukan.
Katanya, dia bersama beberapa orang rakan akan turun padang bagi membantu mangsa banjir.
"Insya-ALLAH sekiranya terjadi banjir pada tahun ini, saya akan turun atas nama NGO bersama lima atau enam orang ahli.
"Saya juga menambah satu lagi bot getah baharu yang ditaja oleh sebuah organisasi di Melaka," ujarnya.
Untuk rekod, selepas menjayakan misi menyelamatkan mangsa banjir penduduk Taman Sri Muda, Shah Alam tahun lalu, Azwan turut pernah membantu mangsa bencana sama di Terengganu dan Baling, Kedah
Azwan menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) atas jasanya membantu mangsa banjir sempena Hari Ulang Tahun ke-73 Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam pada Ogos lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram