Tindakan tatatertib Cikgu Fadli Salleh di luar bidang kuasa KPM — Radzi Jidin


  • Primer
  • Selasa, 18 Okt 2022

Radzi memaklumkan sebarang tindakan yang dikenakan ke atas Mohd Fadli (kiri) di luar bidang kuasa KPM. — Facbook/Fadli Salleh

SEBARANG tindakan tatatertib yang mungkin dikenakan ke atas guru, Mohd Fadli Salleh berada di luar bidang kuasa Kementerian Pendidikan (KPM).

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, keputusan itu dibuat oleh Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan dan tiada campur tangan pihak kementerian.

“Terdapat banyak perkara yang tidak boleh disentuh dan terbatas oleh pihak kementerian. Apa yang saya yakin, keputusan itu dibuat selepas melakukan beberapa peringkat perbincangan.

“Saya tidak boleh memberi sebarang kata putus kerana itu semua terletak di tangan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan.

“Difahamkan keputusan itu akan dimaklumkan kepada beliau (Mohd Fadli) pada hari ini (Selasa),” katanya ketika sidang media Majlis Pelancaran Inisiatif Progres Membaca di Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia di Shah Alam, Selangor pada Selasa.

WhatsApp Image 2022-10-18 at 11.24.01 AM

Radzi semasa berucap pada Majlis Pelancaran Inisiatif Progres Membaca di Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia di Shah Alam, Selangor pada Selasa.

Terdahulu Mohd Fadli, seorang guru matematik di sebuah sekolah rendah di Gombak, Selangor mendakwa di laman Facebooknya Sabtu lalu bahawa dia berkemungkinan dipecat atau diturunkan pangkat kerana menyuarakan pandangan mengenai sukatan pelajaran yang dianggapnya terlalu tinggi dan tidak wajar untuk pelajar.

Mohd Fadhli turut mengetengahkan dakwaan lain dalam catatannya, termasuk bilangan pelajar yang tinggi setiap kelas, bilangan mata pelajaran dan isu beg sekolah berat.

Pada Ahad, Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, lembaga itu akan bermesyuarat selepas menerima surat representasi yang dikemukakan Mohd Fadli pada Jumaat lalu.

Pkharuddin dilaporkan berkata, surat tunjuk sebab kepada Mohd Fadli tidak bermakna hukuman telah dijatuhkan oleh Lembaga Pengarah.

Mengulas lanjut, Radzi berkata, silibus yang digunakan ketika ini juga diperkenalkan sejak 2017, bukannya baru diperkenalkan ketika beliau menjadi Menteri Kanan Pendidikan.

"Ini bukannya silibus Radzi Jidin yang boleh ditukar setiap tahun," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram