ISU silIbus pelajar sekolah bukan satu perkara yang perlu dijadikan sebagai medium untuk berpolitik dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), tegas Datuk Dr Radzi Jidin.
Menteri Pendidikan itu berkata, silibus yang digunakan sekarang sudah digunapakai sejak 2017 dan kajian terhadap keputusan itu sudah dilakukan.
“Pendidikan dan politik tidak wajar untuk dicampur aduk kerana kedua-duanya perkara berbeza. Pada saya mereka ini hanya ingin mengambil kesempatan untuk berpolitik.
“Kajian semula ke atas silibus akan dilakukan selepas kitaran tamat. Hal ini apabila seorang pelajar darjah satu yang menggunakan silibus tahun 2017 menghabiskan satu kitaran apabila mereka darjah enam.
“Sebaik sahaja silibus itu berjaya menyelesaikan satu kitaran, maka Kementerian Pendidikan (KPM) akan membuat kajian semula terhadap silibus,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika hadir melancarkan Inisiatif Reading Progress Di Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia di Shah Alam, Selangor pada Selasa.
Mengulas lanjut, beliau berkata, setiap keputusan dibuat berdasarkan perbincangan dengan pegawai pendidikan, guru dan ibu bapa.
“Sebelum memutuskan sesuatu keputusan, kami akan mengadakan perbincangan dengan dan mendengar apa cabaran yang dihadapi dalam proses pembelajaran dan pengajaran.
“Semua perkara diambil kira dan kami di Kementerian sentiasa terbuka dan mendengar pandangan asalkan dapat menambahbaikkan pendidikan pelajar,” katanya.
Penyediaan lokar di dalam kelas antara usaha KPM bagi membantu masalah beg berat pelajar.
Masalah silibus pelajar menjadi kontroversi selepas seorang guru sekolah rendah, Mohd Fadli Salleh menyuarakan pandangannya mengenai pembelajaran silibus yang terlalu tinggi dan sukar untuk diterima pelajar.
Perkara sama turut terkait dengan masalah bebanan beg sekolah berat terutama buat pelajar darjah satu.
Radzi menyifatkan isu tersebut sudah lama dibahas dan kini Kementerian berusaha untuk menyelesaikannya dengan cara penyediaan lokar kepada pelajar dan pengurangan subjek pembelajaran setiap hari.
“Sebanyak tujuh inisiatif untuk melesaikan masalah beg berat. Salah satunya penyediaan lokar kepada pelajar. Hampir 40 peratus pada fasa satu sudah selesai yang dimulakan sejak Mac lalu.
“Kami turut menasihatkan agar pihak sekolah sebolehnya menghadkan jumlah subjek sekitar tiga atau empat dalam sehari,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Radzi memberitahu dirinya berasa kecewa dengan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu.
Ujarnya, tindakan itu secara tidak langsung membataskan usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memperkasakan perkhidmatan internet di sekolah di seluruh negara.
“Kertas Kabinet sudah diselesaikan dan dibawa ke persidangan Kabinet. Namun, disebabkan Parlimen bubar perkara itu tidak dapat diteruskan.
“Ini secara tidak langsung akan melambatkan proses dan mengakibatkan banyak perkara yang tidak selesai,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram