Mohon bantuan Baitulmal dihentikan — 'Terima kasih bantu semasa sakit'


  • Massa
  • Khamis, 22 Sep 2022

Seorang penerima zakat bulanan menghantar surat kepada MAINJ supaya menghentikan pemberian sumbangan Baitulmal. — Gambar hiasan/Agensi

BERKAT sumbangan bantuan yang terima, seorang penerima zakat bulanan di Johor mampu menjalani kehidupan lebih baik selain memperoleh pekerjaan dengan memiliki pendapatan tetap setiap bulan.

Berita menggembirakan itu dikongsikan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) di Facebook rasmi mereka pada Khamis.

Berdasarkan perkongsian tersebut, individu terbabit yang menetap di Mersing memohon agar bantuan diterima dihentikan.

“Saya penerima bantuan Baitulmal Jabatan Agama Islam Mersing ingin memaklumkan supaya bantuan ke atas saya diberhentikan kerana sekarang sudah bekerja dengan pendapatan sebanyak RM2,400 sebulan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Baitulmal kerana membantu masalah kewangan saya semasa sedang sakit,” tulisnya.

Dalam pada itu, menerusi tinjauan Majoriti di ruangan komen melihat ramai warganet memberi sokongan dan memuji sifat individu yang dirahsiakan identitinya itu.

305833786_390736626582099_5382695708137194005_n

Tangkap layar surat yang dihantar oleh penerima bantuan MAINJ meminta agar bantuan ke atasnya dihentikan.

“Sebak baca perkongsian ini kerana kami juga pernah berbuat demikian beberapa tahun lepas. Bermula dengan niat untuk menjadi penyumbang zakat berbanding penerima zakat. Alhamdulillah ALLAH mudahkan semuanya.

“Terima kasih kepada MAINJ dan semua penyumpang selama menyantuni zakat perubatan anak saya,” kata seorang netizen, Norazela Mahat II.

Terdahulu dalam perkembangan berkaitan, seorang penerima asnaf turut menghantar surat kepada Lembaga Zakat Selangor agar menamatkan bantuan bulanan setelah kewangannya kembali pulih, sekali gus mampu untuk menyara keluarga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram