Hati-hati dengan individu mengaku cicit nabi — Jakim


  • Primer
  • Selasa, 18 Okt 2022

Orang ramai dinasihatkan berhati-hati dengan individu yang mendakwa dirinya sebagai cicit nabi.

ORANG ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dengan individu yang mendakwa dirinya sebagai keturunan ke-38 Nabi Muhammad SAW.

Perkara itu dimaklumkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam satu kenyataan balas terhadap satu komen warganet di Facebook.

"Setakat ini Jakim tidak pernah membuat apa-apa kenyataan rasmi berhubung latar belakang individu berkenaan.

"Namun, Jakim menasihatkan orang ramai untuk mengambil langkah berhati-hati dengan dakwaan yang tidak jelas mengenai latar belakang individu tersebut,” katanya pada Selasa.

Terdahulu, warganet bertanya kepada Jakim berkenaan dakwaan lelaki itu ada melakukan penipuan wang dan nasab.

Jelas Jakim, pihak berkuasa agama negeri mengambil maklum dan memberi perhatian tentang program melibatkan individu terbabit.

"Difahamkan beliau menghadiri beberapa program yang telah diatur di beberapa buah negeri.

"Jakim percaya pihak berkuasa agama negeri dan pihak berkuasa yang bertanggungjawab mengambil maklum dan perhatian mengenai program-program melibatkan kehadiran beliau," ujarnya.

Pada 13 Oktober lalu, Majoriti menghubungi Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor yang turut menasihatkan masyarakat Islam tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan mana-mana individu sebagai waris Rasulullah untuk mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan.

"Kita bimbang kemurahan hati umat Islam Malaysia dan kecintaan mereka kepada Nabi Muhammad dan keturunan Baginda dieksploitasi oleh individu tidak bertanggungjawab.

"Bimbang mereka mempunyai kepentingan diri atau kumpulan tertentu yang hanya ingin mengambil kesempatan terhadap kebaikan masyarakat Islam.

"Penipuan boleh berlaku dalam pelbagai cara termasuk dakwaan palsu sebagai berketurunan Rasulullah SAW," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram