Lelaki meninggal dunia ketika sakan menari depan puluhan ahli keluarga


  • Benua
  • Selasa, 18 Okt 2022

Tangkap layar rakaman seorang lelaki tiba-tiba tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia.

SIAPA sangka menghadiri sebuah majlis keramaian menjadi detik terakhir buat seorang lelaki sebelum disahkan meninggal dunia baru-baru ini.

Ramesh Vanzara, 51, bersama seorang lelaki sedang melakukan tarian raas sambil diperhatikan oleh beberapa ahli keluarga lain.

Untuk rekod, tarian raas merupakan aktiviti tradisional masyarakat setempat yang menari sambil memegang batang kayu di kedua-dua belah tangan.

Kejadian yang berlaku di Devgadh Baria, Dahod, India itu menyaksikan Ramesh kelihatan sedang asyik menari.

Rakaman video yang menunjukkan Ramesh secara tiba-tiba rebah sebelum disahkan meninggal dunia di hospital.

Pergerakan yang sebelumnya pantas berubah menjadi perlahan sebelum Ramesh dilihat seperti orang keletihan.

Memandangkan pergerakan Ramesh menjadi semakin tidak stabil, salah seorang lelaki cuba untuk mengambil kayu yang dipegangnya.

Namun, Ramesh gagal menyeimbangkan diri dan rebah tiba-tiba.

Sebaik sahaja itu, Ramesh kemudian dikejarkan ke hospital dan doktor mengesahkan dia meninggal dunia.

Punca kematian bagaimanapun masih tidak dapat dipastikan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram