TULAR satu rakaman video menunjukkan dua pergaduhan berasingan melibatkan 25 individu di sebuah pasar raya sejak Selasa minggu lalu.
Kejadian itu dipercayai berlaku di premis Walmart, West Florissant Avenue, Ferguson, Amerika Syarikat.
Dalam video tersebut memaparkan sekumpulan pelanggan di kaunter layan diri (self-checkout) memukul, menendang dan menumbuk antara satu sama lain.
Malah ada di antara mereka dilihat membaling beberapa barangan dan sebahagian lagi pula kelihatan bergaduh dengan menggunakan objek berat.
Turut kedengaran pelanggan yang terlibat dalam pergaduhan ganas itu mengeluarkan kata-kata kesat antara satu sama lain.
Pergaduhan itu berjaya dileraikan oleh pihak Walmart tanpa bantuan daripada pihak berkuasa tempatan.
Menurut Ketua Polis Ferguson, Frank McCall, kira-kira 10 hingga 25 orang yang terlibat dalam pergaduhan itu.
"Saya melihat beberapa rakaman video tersebut yang tular di media sosial dan ia sangat memalukan.
"Polis tiba di tempat kejadian pada pukul 9 malam dan hasil siasatan awal tiada sesiapa yang dilaporkan cedera.
"Kami juga mengenal pasti individu yang terlibat dalam pergaduhan itu. Namun, tiada tangkapan dibuat setakat ini.
"Hanya kerosakan harta-benda dilaporkan membabitkan sejumlah kerugian yang masih belum ada butiran lanjut," katanya memetik laporan media News 4.
Setakat berita ini ditulis, pihak polis tempatan masih menyiasat punca sebenar kejadian pergaduhan itu tercetus.
Sementara itu, jurucakap Walmart berkata, pihaknya sangat mengutamakan keselamatan pelanggan dan rakan niaga mereka pada setiap masa.
"Kami akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk membantu siasatan kejadian yang berlaku pada Selasa," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram