Motosikal hilang kawalan punca tonggak PJ City maut kemalangan


  • 112
  • Isnin, 17 Okt 2022

Rajes Perumal disahkan meninggal dunia akibat kemalangan motosikal yang hilang kawalan pada pagi Isnin.

POLIS mengesahkan kemalangan yang meragut nyawa bintang PJ City FC, Rajes Perumal berpunca selepas motosikal yang ditunggang mangsa hilang kawalan sebelum terbabas.

Dalam kejadian pada awal pagi Isnin, Rajes disahkan meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan di Batu Caves, Gombak, Selangor.

Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Noor Ariffin mengesahkan punca kemalangan yang melibatkan pemain bola berusia 37 tahun tersebut disebabkan motosikal jenis Skuter Benelli 125i yang ditunggangi mangsa hilang kawalan di Jalan Sri Batu Caves berhadapan dengan Pos Laju.

Menurutnya lagi, mangsa yang dari arah Batu Muda menghala ke Batu Caves terbabas ke bahu kiri jalan sebelum merempuh pokok.

Akibat daripada kemalangan tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mangsa dibawa ke Forensik Hospital Selayang untuk dibedah siasat.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, berita kematian Rajes dikongsi oleh rakan sepasukannya, S. Subramaniam yang mengesahkan berita duka tersebut dengan memuat naik status di laman media sosial miliknya.

Dalam muat naik tersebut, pemain pertahanan PJ City itu juga memohon supaya gambar-gambar kemalangan tidak disebarkan agar tidak menyinggung perasan keluarga terdekat mendiang.

"Sahabat saya Rajes Perumal, pemain bola sepak Liga Super PJ city FC mengalami kemalangan motosikal dan meninggal dunia di Batu Caves. Mohon jangan sebarkan gambar-gambar kemalangan beliau di media sosial dan Whatsapp demi menjaga kesensitivitian keluarga dan rakan- rakan beliau. Sekian," tulisnya.

Sebagai rekod, Rajes pernah bermain untuk Selangor PKNS FC dari 2011 hingga 2013, memenangi gelaran Liga Perdana 2011.

Mendiang turut pernah menyarung jersi Selangor pada 2014 dan berkhidmat dengan pasukan Kedah pada 2015 sebelum kembali ke PKNS pada musim 2016 dan 2017.

Rajes yang menyertai PJ City pada tahun 2018 telah membuat 44 penampilan bersama dan sempat menyumbangkan tiga gol dengan enam bantuan gol.

Sesungguhnya pemergian ini merupakan satu kehilangan besar buat sukan bola sepak tanah air. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram