SIAPA sangka niat murni seorang warga emas yang berulang-alik untuk memberi makan kucing dan ayamnya di Taman Naning, Melaka berakhir tragedi selepas mangsa bertembung dengan sebuah motosikal lain.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi itu, Abd Rahim Hussin, 74, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala selepas motosikalnya berlanggar dengan motosikal yang ditunggang, Muhammad Farul Rizuan Zulkiply, 32.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, dalam nahas itu, Muhammad Farul Rizuan Zulkiply juga turut maut di lokasi persimpangan lampu isyarat Simpang Ampat, Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ).
“Hasil siasatan mendapati, warga emas itu dari arah Alor Gajah dipercayai membuat pusingan U di lampu isyarat Simpang Ampat untuk berpatah balik ke Alor Gajah.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila Muhammad Farul meneruskan perjalanan semasa lampu isyarat hijau lalu melanggar warga emas berkenaan yang membuat pusingan U," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Katanya, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat.
Tambah Arshad, warga emas itu bersama isterinya tinggal di rumah anak mereka di Alor Gajah disebabkan keadaan kesihatan isterinya.
“Untuk sementara waktu, warga emas ini duduk dengan anaknya kerana menjaga isterinya yang sakit.
“Rutin harian biasanya dia akan balik ke rumahnya di Taman Naning untuk beri makan kucing dan ayam," katanya.
Dalam pada itu, katanya saksi kejadian diminta untuk tampil membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram