BARISAN Nasional (BN) perlu meletakkan calon muka baharu yang tidak mempunyai sebarang masalah kes rasuah, jenayah atau spekulasi skandal.
Exco Pergerakan Pemuda Umno, Muhammad Nur Aizat Noor Azam berkata, perkara itu berdasarkan kemenangan besar BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac lalu yang dipengaruhi faktor calon muka baharu.
"Peletakan calon politik muda dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah penting supaya pengundi berusia 18 hingga 21 tahun rasa lebih dekat berbanding calon politik lebih senior.
"Golongan muda kini diakui semakin bijak membuat penilaian terhadap apa juga isu yang timbul kerana informasi berada di hujung jari mereka," katanya dalam sesi ramah mesra bersama media di Kuala Lumpur pada Isnin.
Aizat Azam berkata, selain itu golongan pengundi muda sekarang juga lebih bijak, peka dan mengambil berat mengenai manifesto yang diperjuangkan oleh calon atau parti tertentu.
Jelasnya, dia sendiri mempunyai rancangan jelas dan teratur untuk masa depan generasi muda jika diberikan mandat oleh rakyat pada PRU15 bagi memperkasakan golongan muda.
"BN dan Umno perlu menawarkan janji manifesto yang akan memberikan kelebihan dan keuntungan kepada orang muda dalam menarik minat mereka.
"Sebab itu hanya calon muda sahaja yang pengundi boleh percaya akan membawa aspirasi golongan sama.
"Kita sedar manifesto merupakan satu janji dan pengundi muda pada hari ini sentiasa akan memikirkan tentang masa depan mereka untuk empat atau lima tahun akan datang.
"Mereka hendak tahu selepas PRU15 apakah jaminan masa depan dan kestabilan mereka bagi meneruskan kehidupan dengan kos sara hidup yang tinggi dan peluang pekerjaan dengan gaji yang wajar," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram