Jemapoh Pizza Kayu Api mahu 'keluar' dari Negeri Sembilan


  • Bizz
  • Sabtu, 15 Okt 2022

Pengasas Jemapoh Pizza Kayu Api, Hamzah Hassan sibuk menyediakan pizza menggunakan dapur kayu api. — Bernama

SUDAH memiliki empat cawangan perusahan pembuatan piza menggunakan oven batu hanya dalam tempoh masa tiga tahun bukanlah tanda untuk mendabik dada.

Pengasas Jemapoh Pizza Kayu Api, Hamzah Hassan, 35, mengakui masih belum berasa selesa dengan pencapaian tersebut dan berhasrat untuk melebarkan pasaran ke peringkat seterusnya.

Katanya, usaha mengembangkan rangkaian perusahaan itu sedang giat dilakukan menerusi pelbagai platform, termasuk menyertai gerai jualan di pelbagai program berskala besar termasuk Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Melaka.

"Perusahaan Jemapoh Pizza Kayu Api bermula di Jemapoh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan sudah tiba masanya untuk kita keluar untuk memperomosikan pizza kayu api, menggunakan ketuhar batu.

"Kita kini telah mempunyai empat cawangan iaitu Jemapoh, Nilai, Seremban di Negeri Sembilan dan Gombak di Selangor,” katanya ketika ditemui Bernama pada Sabtu.

MELAKA, 15 Okt -- MENYELERAKAN… Jemapoh Pizza Kayu Api yang telah siap dibakar menggunakan dapur kayu api ketika tinjauan fotoBernama di gerai pizza tersebut pada Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) dekat Ayer Keroh hari ini.--fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Jemapoh Pizza Kayu Api yang siap dibakar menggunakan dapur kayu api di gerai pada Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) dekat Ayer Keroh pada Sabtu.

Dalam pada itu, Hamzah melihat antara cabaran utama bagi mempromosikan produk itu di luar kawasan ialah isu logistik, kerana perlu membawa ketuhar batu bersaiz besar dan berat, namun ia bukan penghalang untuk mengembangkan perusahaannya itu.

Tambahnya, inovasi terhadap model kelima ketuhar batu seberat kira-kira 300 kilogram dibuatnya agar ia mudah dibawa ke mana-mana tapak jualan, sekali gus mengurangkan kos pengangkutan.

"Walaupun secara mata kasar pembuatan menggunakan teknik tradisonal itu dilihat rumit, namun hanya sekitar dua minit masa diperlukan untuk membakar sekeping piza pada suhu antara 300 hingga 400 darjah celsius, berbanding antara lapan hingga 10 minit sekeping jika menggunakan ketuhar biasa," katanya.

Mengulas prestasi jualan di Jelajah AKM Melaka, Hamzah memberitahu, pembuatan piza dilakukan bersama isteri, Kauthar Mohamad Kamaludin, 35, serta seorang pembantu mendapat sambutan agak menggalakkan.

"Pada hari pertama karnival, kita berjaya menjual 80 keping piza dan kita menjangkakan jumlah jualan akan meningkat kepada 100 hingga 150 sehari pada hari ini dan esok.

"Ada pengunjung baharu kenal, ada yang dah tahu tapi tak pernah cuba... mungkin benda ini (Jemapoh piza Kayu Api) dah tular dan dah lama orang tahu terutama orang Melaka, tapi hari ini baharu berpeluang mencubanya di sini,” jelasnya yang beroperasi di Slot Citarasa Keluarga Malaysia di hadapan dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh.

Sekeping piza bersaiz 20 inci dijual pada harga RM25 dan memerlukan antara 5 ke 7 minit untuk disiapkan. Antara pilihan 'topping piza' yang dijual ialah Jemapoh Signature, Tuna Tikey, Peperoni Pilah, Vege Classic dan Chimory. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram