BERFUNGSI sebagai tempat untuk menuntut ilmu, sekolah juga dapat menjadi tempat untuk pelajar mengetahui kekuatan dan kelebihan mereka selain bidang akademik.
Menurut Menteri Kanan Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datuk Dr Radzi Md Jidin, ibu bapa perlu memberi peluang kepada anak-anak untuk mengenalpasti bakat terpendam.
"Kita tidak mahu pelajar merasa mereka terpinggir hanya kerana tidak mahir dalam akademik. Setiap daripada mereka mempunyai kemahiran tersendiri sama ada sukan, pelajaran, kesenian atau sebagainya.
"Begitu juga dengan deklamasi sajak dan dapat mewujudkan daya pemikiran kreatif dan kritis dalam kalangan pelajar.
"Penulisan bahasa Melayu ini perlu diterapkan sejak kecil agar dapat dikekalkan dalam diri mereka sehingga dewasa," katanya dalam ucapan Majlis Perasmian Penutupan Seyembara Penulisan dan Deklamasi Puisi Pelajar Sekolah Rendah dan Menengah Peringkat Kebangsaan 2022 pada Rabu.
Sementara itu, Radzi turut berpandangan positif tentang penganjuran pertandingan sastera sempena sambutan bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia.
Jelasnya, rangsangan dan bimbingan untuk menulis dan mengekspresikan buah fikiran melalui pendeklamasian sajak telah menerapkan rasa kecintaan pelajar untuk meneroka ilmu yang bermanfaat.
"Keupayaan mereka untuk mengolah serta menyampaikan pandangan, hujahan atau huraian perkara dengan jelas dan teratur berdasarkan fakta seperti yang dihasratkan di bawah elemen eksplorasi dan artikulasi," ujar beliau.
Radzi turut berpendapat subjek Sastera memainkan peranan besar dalam pembentukan keperibadian pelajar.
"Peranan guru sangat penting dalam memberikan tunjuk ajar dan bimbingan kepada para pelajar ini agar objektif pembentukan sahsiah dan jati diri pelajar menerusi seni sastera dapat disemai dengan subur," katanya.
Majlis yang diadakan di Balai Budaya Tin Seri Syed Nasir, Wisma DBP, acara tersebut dibawakan oleh Kumpulan UMW dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram