Kerajaan tubuh jawatankuasa khas bantu mangsa pemerdagangan manusia 


  • Primer
  • Rabu, 21 Sep 2022

Kebanyakan mangsa penipuan sindiket pemerdagangan manusia akan dipaksa untuk terlibat dalam jenayah penipuan dalam talian dan pelacur.

BAGI membantu mangsa penipuan tawaran kerja di luar negara, kerajaan akan mewujudkan jawatankuasa khas sebagai langkah menyelamatkan rakyat Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad berkata, jawatankuasa tersebut akan disertai pelbagai agensi dan diketuai oleh Kementerian Luar Negeri.

“Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu membincangkan isu rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara disebabkan sindiket penipuan kerja.

“Perkara ini dipandang serius dan kerajaan amat prihatin terhadap nasib keluarga dan mangsa di beberapa negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, penubuhan jawatankuasa tersebut turut membuktikan kerajaan serius dan memberikan sepenuh komitmen bagi memastikan rakyat Malaysia dapat pulang dengan selamat.

Rakyat Malaysia dinasihatkan supaya menghubungi Kementerian Luar Negeri jika mendapat tawaran kerja di luar negara bagi memastikan kesahihan maklumat.

Untuk rekod, kira-kira 30 keluarga mangsa pemerdagangan manusia rakyat Malaysia yang ditahan dan diseksa oleh sindiket penipuan di Kemboja, Laos dan Myanmar memegang plakad berkumpul di bangunan pejabat Perdana Menteri, Putrajaya pada Isnin.

Penyerahan memorandum turut dilakukan kepada Perdana Menteri bagi merayu agar dapat campur tangan kerajaan dalam menyelamatkan ahli keluarga mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram