PRU15: Umno bukan lagi dominan, Agong jadi penentu — Ahmad Atory


  • Politik
  • Ahad, 02 Okt 2022

Kesungguhan Umno memberi tekanan kepada Perdana Menteri menjadi tanda tanya punca parti itu ingin Parlimen segera dibubar. — Bernama

TINDAKAN Umno yang terlalu mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk meminta Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen dengan segera bagaikan menyimpan agenda tersendiri.

Meskipun parti pimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kelihatan sangat bersedia untuk menjalani Pilihan Raya jika berlaku dalam tempoh masa terdekat, namun rasionalnya Umno sendiri masih belum cukup kuat untuk ‘berperang.’

Pandangan itu disuarakan oleh penganalisis politik veteran, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain melihatkan usaha parti terbabit yang begitu bersungguh-sungguh berbanding pihak lain.

“Secara kasarnya jika kita lihat Perdana Menteri seperti tiada ‘mood’ untuk buat sebarang keputusan dalam masa terdekat. Ini juga bahaya bagi pengundi atas pagar memandangkan segelintir ahli politik sendiri ramai yang lompat parti.

“Mungkin kerana desakan presiden membuatkan Ismail Sabri terpaksa membawa perkara itu ke peringkat kabinet dan juga parti komponan.

“Umno juga mungkin terlupa bahawa mereka bukan lagi parti dominan kerana perlantikan Perdana Menteri juga mendapat sokongan daripada pelbagai parti lain.

"Adakah kerana Barisan Nasional menang di Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor awal tahun ini memberi keyakinan kepada mereka, namun situasi ketika itu menunjukkan penurunan peratusan rakyat keluar mengundi,” katanya kepada Majoriti.

Dalam pada itu keputusan yang dibuat juga perlulah mendapat sokongan dan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

“Cadangan atau desakan itu boleh dibuat, tetapi Agong juga mempunyai penasihat baginda sendiri untuk membincangkan perkara itu.

“Mungkin baginda tidak perkenan kerana perkara tersebut akan membebankan rakyat untuk keluar mengundi dalam keadaan negara yang dikhuatiri berdepan bencana banjir,” jelasnya.

Bagaimanapun, Ahmad Atory turut memberitahu tidak menjadi kesalahan jika pembubaran Parlimen dilakukan dalam tempoh masa terdekat seperti November ini.

Namun kerajaan perlu bersedia sepenuhnya terutama jika pilihan raya berlaku ketika banjir.

“Pengundi akan dibawa menggunakan bot ke pusat pengundian, tetapi adakah aset yang kita miliki mampu untuk melancarkan proses itu? Bagaimana pula untuk menyelamatkan mangsa?

“Sekiranya proses itu sukar untuk dilakukan, bimbang rakyat tidak mahu keluar mengundi dan akan menjejaskan jumlah rakyat keluar mengundi,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram