Bajet 2023: Bebaskan 7.5 juta pekerja am di bawah paras kemiskinan


  • Massa
  • Isnin, 03 Okt 2022

Penilaian semula paras gaji pekerja agar lebih bersedia berdepan dengan peningkatan kos sara hidup. — Bernama

PENDAPATAN rendah dan kos sara hidup tinggi antara perkara yang perlu diberikan penekanan oleh kerajaan dalam pembentangan Bajet 2023 pada Jumaat ini.

Perkara itu disuarakan oleh penganalisis ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai apabila melihat hampir 50 peratus daripada 15 juta pekerja tempatan berada di bawah tahap kemiskinan.

Katanya, angka itu menunjukkan sekitar 7.5 juta individu daripada sektor pekerja tidak mahir atau am seperti buruh binaan perlu diberi perhatian khususnya mengharungi cabaran kenaikan harga barang.

“Kerajaan perlu menyediakan bajet yang benar-benar dapat membantu rakyat kerana rata-rata penduduk tempatan sekarang sedang sengsara.

“Dianggarkan 50 peratus pekerja mendapat nilai pendapatan menengah sebanyak RM2,000 ke bawah berdasarkan analisis kos sara hidup diukur pada RM2,500.

“Sementara tahap kemiskinan pula dinilai bagi mereka yang mempunyai pendapatan RM2,200 ke bawah. Jadi mereka yang memperoleh pendapatan RM2,000 ini berada di bawah tahap kemiskinan dan perlu diberi perhatian,” katanya ketika dihubungi Majoriti pada Isnin.

Mengulas lanjut, kerajaan seharusnya jangan membiarkan rakyat terus hidup dalam ‘kemiskinan’ gaji.

Following the ban from Malaysia, the Singapore Food Agency (SFA) gave approval for Indonesia to export frozen, chilled and processed chickens to Singapore in June. - The Star/ANN

Kawalan harga sepatutnya tidak terhad kepada bahan mentah ayam sahaja, tetapi perlu dibuat secara menyeluruh.

“Penstrukturan semula perlu diambil bagi menyelaraskan tahap ekonomi rakyat dengan menyasarkan kepada produktiviti.

“Bagaimana kerajaan dapat membantu mengubah produktiviti pekerja yang membuatkan mereka mendapat gaji sebanyak itu kepada tahap lebih baik.

“Kumpulan ini mungkin boleh dibantu daripada tenaga tidak mahir berubah kepada pekerja separuh mahir atau mahir," jelasnya.

Barjoyai Bardai turut menganggarkan jika pendekatan itu dilakukan dalam tempoh lima tahun akan datang, ia dapat membantu pekerja Malaysia memperoleh purata gaji sekitar RM5,000.

“Pendapatan rendah membuatkan kos sara hidup meningkat dengan cepat pada tahun ini sebanyak enam peratus.

“Kerajaan perlu mengambil langkah agresif untuk mengawal harga makanan dan bahan mentah. Memang benar kerajaan berusaha mengawal harga ayam, tetapi ada banyak lagi yang perlu dikawal seperti makanan laut, sayur dan buah-buahan,” jelasnya.

Dalam pada itu, kerajaan juga perlu melihat semula jumlah subsidi yang diberikan kepada minyak masak paket berbanding botol.

“Kerajaan perlu beri subsidi kepada minyak botol kerana minyak paket agak terhad dan kurang mendapat kepercayaan pengguna.

Tindakan bijak sektor pelancongan Thailand menarik minat rakyat tempatan berkunjung ke negara tersebut.

"Begitu juga dengan subsidi petrol yang tidak selaras antara kenderaan mewah dengan penunggang motosikal,” ujarnya.

Selain itu, Barjoyai Bardai turut mengharapkan sektor pelancongan dapat membantu bagi mempromosi dan menggalakkan percutian domestik.

Katanya, strategi yang digunakan Thailand dilihat berjaya apabila ramai rakyat tempatan berkunjung ke negara terbabit.

“Penawaran pakej percutian yang rendah secara tidak langsung menarik minat orang kita untuk ke sana. Memang benar penginapan dan pengangkutan agak murah, tetapi realitinya kita berbelanja lebih ribuan ringgit di sana.

“Harga barang di Thailand juga bukan murah kerana jika diukur antara nilai baht dan RM, harga antara kedua-dua tidak jauh beza.

“Oleh itu pemain sektor pelancongan tidak perlu terlalu gopoh untuk mengaut untung setelah kerugian sepanjang dua tahun ini. Ambil iktibar daripada negara jiran dan lihat bagaimana mereka berjaya menarik ribuan rakyat kita ke sana,” jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram