PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis telah mengumumkan pengurangan kadar tol beberapa lebuh raya.
Ismail Sabri berkata, keputusan itu sebagai menandakan keprihatinan terhadap masalah rakyat yang berdepan dengan masalah kenaikan kos sara hidup.
Menurut Ismail Sabri, kerajaan bersetuju dengan cadangan untuk penstrukturan semula empat konsesi lebuh raya bertol di bawah kendalian Prolintas berkuatkuasa 20 Oktober depan.
Jelasnya, lebuh raya terbabit ialah Lebuhraya Bertingkat Ampang – KL (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning – Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK).
"Pengurangan kadar tol bagi Lebuh Raya LEKAS dan BESRAYA di bawah Kumpulan IJM Corporation Berhad akan berkuat kuasa mulai 1 Januari tahun depan," katanya ketika merasmikan pembukaan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) di Plaza Tol Denai Alam, Shah Alam, Selangor.
Menurut Ismail Sabri, dalam usaha menampung trafik yang tinggi serta menangani masalah kesesakan lalu lintas di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dari Tol Plaza Gombak, Selangor ke Tol Plaza Bentong, Pahang, kerajaan akan membina lorong tambahan dan satu terowong baharu di Genting Sempah.
"Pada masa yang sama, kerja-kerja tebatan banjir di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) juga akan dilaksanakan susulan daripada kejadian banjir yang seringkali berlaku," katanya.
Ujarnya, kesemua kerja-kerja penambahbaikan termasuk mengambilkira penstrukturan semula kadar tol dengan perjanjian konsesi tambahan sedang dimuktamadkan.
Tambahnya, melalui penstrukturan terbaharu ini, kerajaan telah menjimatkan sebanyak RM8.8 bilion anggaran dalam bentuk pampasan yang sepatutnya dibayar kepada syarikat konsesi yang terlibat.
Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mengumumkan kadar tol percuma selama sebulan bermula Jumaat untuk pengguna lebuh raya DASH. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram