Utamakan isu rakyat, Selangor kekal keputusan tak bubar DUN


  • Politik
  • Selasa, 11 Okt 2022

Amirudin ketika ditemui di luar Istana Bukit Kayangan selepas mengadap Sultan Selangor.

KERAJAAN Selangor kekal dengan keputusan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahun depan.

Perkara itu dinyatakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari selepas mengadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kira-kira dua jam di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, Selangor.

"Perbincangan saya bersama Sultan Sharafuddin adalah pertemuan lazim melibatkan pelbagai perkara yang perlu diselesaikan sebelum pembubaran DUN," katanya selepas ditemui media di luar pekarangan Istana Bukit Kayangan pada Selasa.

Amirudin berkata, daripada perbincangan dengan Sultan Sharafuddin, tidak ada sebarang permintaan untuk kerajaan negeri dibubarkan.

Jelasnya, dia juga telah menyampaikan kepada Sultan Sharafuddin bahawa Pakatan Harapan (PH) mahu mengekalkan keputusannya untuk tidak membubarkan DUN seiring dengan pembubaran Parlimen.

Katanya, bajet negeri yang dijadual dibentangkan pada 28 Oktober depan mungkin terpaksa ditangguhkan.

"Kami menunggu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)," katanya.

Menurut Amirudin, bajet itu mungkin terpaksa ditangguhkan kerana pegawai kerajaan negeri akan diberi pelbagai tugas untuk dijalankan semasa pilihan raya dan ini boleh menjejaskan kecekapan penyediaan dan pembentangan bajet.

Mengenai perkara lain, Amirudin yang merupakan ketua PKR Selangor berkata, parti itu akan mengekalkan kebanyakan penyandang Ahli Parlimen pada PRU15.

"Kami akan mempunyai calon baharu di Gombak dan Ampang serta melihat untuk memperkenalkan beberapa calon baharu dan muda bagi mengukuhkan lagi parti," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram