Bubar Parlimen bukti pemimpin zalim — Pejuanita


  • Primer
  • Isnin, 10 Okt 2022

Pejuanita menyifatkan tindakan ahli politik yang berteka-teki dengan tarikh pembubahan Parlimen hanya akan meresahkan rakyat.

POLEMIK pembubaran Parlimen semakin hangat diperkatakan terutama selepas Pembentangan Belanjawan 2023 pada 7 Oktober lalu.

Semua pihak bagaikan tidak senang duduk dan tertanya-tanya sama ada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan berlangsung pada tahun ini atau sebaliknya.

Menurut Ketua Pejuanita Pejuang Tanahair, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim, perbuatan ahli politik yang ‘bermain’ dengan tarikh pembubaran Parlimen hanya akan membimbangkan rakyat.

“Hanya di Malaysia tarikh pembubaran Parlimen dan PRU menjadi mainan orang politik setiap hari sehingga menyebabkan ketidaktentuan dan keresakan rakyat.

“Sengaja disukarkan rakyat dengan pelbagai karenah untuk menunaikan tanggungjawab memilih kerajaan yang baik untuk mereka,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook baru-baru ini.

majoriti2022 (5)

Tangkap layar kenyataan Che Asmah di Facebook.

Dalam pada itu Che Asmah turut mengatakan kepimpinan kerajaan tidak bertanggungjawab dan berlaku zalim sehinggakan sanggup menggunakan muslihat untuk menggesa rakyat keluar mengundi.

“Sudahlah mereka kalah dalam PRU yang lepas. Mereka rampas mandat rakyat menjadi kerajaan dengan pelbagai tipu helah. Sekarang ini mereka pula nak tentukan bila rakyat patut keluar mengundi dengan bermacam asakan.

“Semoga segala kezaliman, tipu helah dan rancangan buruk mereka ini digagalkan oleh yang MAHA BERKUASA dan rakyat Malaysia diselamatkan daripada kepimpinan yang zalim,” jelasnya.

Terdahulu, Umno menerusi Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan mengutuskan surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob untuk meminta agar pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong dilakukan bagi memberi laluan kepada pilihan raya.

Perkara itu bagaimanapun sebaliknya berlaku bagi parti Perikatan Nasional (PH) yang tegas menolak PRU diadakan pada tahun ini memandangkan Monsun Timur Laut akan bermula sekitar November hingga Mac depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram