PERKONGSIAN Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang berdepan dengan gangguan seksual ketika berada di stesen MRT Maluri, Kuala Lumpur pada Khamis lalu mendapat perhatian pelbagai pihak.
Ini termasuk pengikut Nur Farah Ariana Nurazam di laman Twitter, khususnya kaum wanita yang prihatin akan nasibnya, selain khuatir tentang keselamatan mereka sekiranya berjalan sendirian di tempat awam.
Malah, ada juga yang sempat berkongsi pengalaman mereka berdepan detik sama, meskipun memakai pakaian sopan ketika terkena gangguan seksual.
Kata @fawadise, dia memakai baju abaya yang diketahui sebagai sopan sebelum bertembung dengan beberapa lelaki di sebuah lorong.
"Selepas beberapa tapak saya berjalan merentas mereka, saya terdengar salah seorang daripada mereka bercakap: "Damn bro, woman with abaya really turn me on like ummphh".
"Dalam keadaan ketakutan, saya beredar dari tempat tersebut," katanya.
Tulis @helloain: "Saya juga ada pengalaman sama. Bila-bila sahaja saya memakai baju kurung yang bukan saiz ketat, kebanyakan pakcik mesti akan tegur. Jadi, saya dah berhenti pakai baju kurung kecuali terpaksa."
Turut tidak terkecuali memberi respons adalah Rapid KL selaku pengendali kepada perkhidmatan MRT.
Rapid KL berkata, pihaknya sudah menghubungi Nur Farah dan masih menunggu butiran lanjut.
Katanya, pasukan petugas khas keselamatan akan terus membuat rondaan di stesen MRT dan kawasan kejadian, selain meneliti rakaman televisyen litar tertutup (CCTV).
"Kami menggalakkan penumpang yang mengalami gangguan seksual untuk segera menghubungi saluran media sosial Rapid KL atau talian bantuan di 03-7885 2585.
"Penumpang juga boleh mendapatkan polis bantuan dan pegawai di stesen untuk tindakan segera," katanya kepada Majoriti.
Sebelum ini, Majoriti melaporkan, meskipun memakai baju kurung Kedah, Nur Farah masih diganggu oleh seorang lelaki tua.
Nur Farah berkata, kejadian bermula apabila dia sedang menunggu perkhidmatan kereta e-hailing, sebelum seorang lelaki memanggilnya dari dalam kereta.
"Saya periksa semula nombor plat, ia bukan kereta yang saya tunggu. Lepas tu dia keluar kereta, tenung saya sambil buat muka 'gatal'. Dia memandang saya atas bawah buat seketika.
"Dia mahu datang lebih dekat, tapi saya tak boleh kawal. Nasib baik ada dua kakak dan seorang lelaki dekat situ," katanya.
Tambahnya, dirinya selamat selepas kedua-dua wanita yang ditemui itu mengajaknya untuk menaiki perkhidmatan kereta e-hailing sama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram