SEORANG wanita membuat laporan polis di Bukit Aman berkaitan pendakwah popular, Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim.
Perkara itu disahkan oleh saksi pendakwaaan, Mohd Fairuz Abu, 37, pada sesi pemeriksaan balas terhadapnya oleh peguam, Ram Singh yang mewakili Ebit Lew dalam perbicaaan hari kedua pendakwah terbabit.
Mohd Fairuz turut memberitahu dia sedia maklum mengenai laporan polis yang dibuat, namun tidak mengetahui kejadian sebenar kepada kes berkenaan.
“Saya rasa pihak polis yang perlu memberitahu tentang perkembangan kes. Lagipun saya sudah membantu wanita terbabit dengan menemaninya ketika membuat laporan polis dan menghubungkan beliau dengan peguam MRM (Multiracial Reverted Muslims).
“Saya menjalankan apa yang termampu untuk dilakukan,” katanya pada sesi perbicaraan berkaitan Ebit Lew di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, Sabah pada Rabu.
Mohd Fairuz turut mengetahui lokasi laporan dibuat dan berada bersama dengan wanita itu sebagai saksi polis.
“Ya saya tahu di Bukit Aman. Saya menjadi saksi dan memberi keterangan kepada pihak polis,” katanya.
Mohd Fairuz turut mengakui bahawa dia terlibat dalam laporan polis wanita itu pada 26 Julai 2021, selain peguam daripada MRM serta wakil MRM.
Dalam perbicaan pertama yang berlangsung pada Selasa, Mohd Fairuz mendedahkan bahawa laporan polis berhubung kes yang sedang dibicarakan itu dilakukan pada 7 Ogos 2021 oleh seorang wanita dari Tenom yang dibuat di Bukit Aman, Kuala Lumpur.
Bagi menjawab soalan Ram berhubung perbelanjaan yang perlu dihadapi wanita berkenaan dari Tenom untuk membuat laporan di Bukit Aman, Mohd Fairuz bersetuju dengannya.
"Tetapi kos berkenaan ditanggung oleh MRM, bukan saja kes seperti ini bahkan kes-kes lain yang dikendalikan MRM," katanya.
Bagaimanapun, dalam soalan sebelum itu, beliau mengakui ada mencadangkan kepada wanita itu untuk membuat laporan polis di Sabah iaitu lokasi balai paling dekat di Tenom.
Perbicaraan sesi pagi berkaitan kes gangguan seksual yang dihadapi Ebit Lew ditangguhkan tengah hari dan akan disambung semula pada pukul 2.30 petang Rabu.
Sebelum itu, perbicaraan yang berlangsung selama empat hari bermula Selasa hingga Jumaat dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Muhammad Ilmami Ahmad, Zahida Zakaria, Adibah Saiful Bahri, Nur Masrin Amalia.
Ebit diwakili barisan peguamnya yang terdiri daripada Ram, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut, Kimberly Ye Wanchuin dan Chen Wen Jye manakala Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.
Ebit berhadapan dengan 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram