Utus warkah kepada Agong, tindakan 12 menteri PN ibarat tak percayakan PM — Ahmad Maslan


  • Politik
  • Jumaat, 07 Okt 2022

Datuk Seri Ahmad Maslan — Gambar Bernama

UMNO menyifatkan tindakan tindakan 12 menteri daripada Perikatan Nasional (PN) mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi menyatakan pendirian untuk tidak diadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada tahun ini disifatkan sebagai tidak wajar.

Menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan, kesemua anggota kabinet PN sepatutnya menyuarakan apa juga pandangan mereka termasuk berhubung pendirian bagi mengadakan PRU-15 ketika mesyuarat Kabinet.

"Tindakan anggota Kabinet PN itu merupakan sesuatu yang tidak manis dalam pentadbiran kerajaan sekarang.

"Apabila 12 menteri tulis surat sebegitu, ia melambangkan rasa tidak percaya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

"Perkara berkaitan tidak bersetuju di dalam kabinet sepatutnya tidak dbincangkan di luar kerana selaku ahli kabinet mereka boleh menyelesaikannya di dalam mesyuarat kabinet," katanya pada sidang akhbar ketika menghadiri Mesyuarat Perwakilan Puteri UMNO Bahagian Pontian di Dewan UMNO, Pontian, Johor pada Jumaat.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Pontian berkata, tindakan itu sebenarnya turut memberi gambaran sokongan kepada Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri semakin berkurangan dalam kalangan anggota kabinet.

"Semakin kurang keabsahaan. Kalau 100 peratus keabsahaannya sekarang cuma 60 peratus, 40 peratus sudah hilang. Sewajarnya isi kandungan surat dan penghantarannya tidak patut disebarkan," katanya.

Pada Khamis, Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mengesahkan 12 menteri PN mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi menyatakan pendirian untuk tidak diadakan PRU15 pada tahun ini.

Mohd Radzi yang juga Menteri Kanan Pendidikan berkata,pendirian bahawa PRU15 tidak wajar diadakan tahun ini susulan Monsun Timur Laut akan bermula tidak lama lagi.

"Gabungan menteri PN berpendapat kebajikan rakyat adalah tumpuan utama yang perlu diberi perhatian pada masa ini," katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Utus Warkah, Agong, 12 Menteri, PN, Ahmad Maslan, PRU15