Penjawat awam dapat duit raya RM600 antara wang tambahan RM2,500 tahun depan


  • Primer
  • Jumaat, 07 Okt 2022

Penjawat awam menerima kenaikan gaji, bantuan khas kewangan dan bantuan khas Aidilfitri untuk tahun depan.

KERAJAAN bersetuju memberikan Bantuan Khas Kewangan kepada 1.3 juta penjawat awam gred 56 ke bawah sebanyak RM700 dan pesara Kerajaan sebanyak RM350 pada tahun depan.

Menteri Kewangan,Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2023 dinaikkan kepada RM600 dan dibayar pada bulan Mac 2023.

"Kerajaan juga bersetuju untuk memberikan Kenaikan Gaji Tambahan Khas 2023 sebanyak RM100 kepada semua penjawat awam Gred 11 hingga 56 dengan implikasi kewangan RM1.5 bilion.

"Ini bermakna, jika seorang kakitangan Gred 11 yang bergaji RM1,600 mendapat kenaikan gaji tahunannya sebanyak RM80 pada setiap April. Bagi tahun depan, dia turut mendapat kenaikan gaji tambahan khas 2023 sebanyak RM100.

"Ini menjadikan gaji akhirnya pada 2023 adalah sebanyak RM1,780 ringgit dan gaji ini kekal dibawa ke tahun seterusnya," katanya.

Menurut Tengku Zafrul, bersama dengan Kenaikan Gaji Tambahan Khas 2023 sebanyak RM100 yang berkuat kuasa pada Januari tahun depan dan Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM700 menjadikan jumlah tambahan keseluruhan untuk penjawat awam yang layak pada tahun depan adalah sebanyak RM2,500.

Terdahulu, Tengku Zafrul mengumumkan peruntukan belanjawan keseluruhan sebanyak RM 372.3 bilion pada tahun ini di Parlimen. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram