Bantuan Musim Tengkujuh meningkat kepada RM800 manfaatkan 320,000 pekebun kecil


  • Primer
  • Jumaat, 07 Okt 2022

BMT akan dinaikkan kepada RM800 berbanding RM600 sebelum ini. — Awani

BANTUAN Musim Tengkujuh (BMT) kepada pekebun kecil getah negara ini dinaikkan kepada RM800 berbanding RM600 sebelum ini, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, BMT yang melibatkan peruntukan RM256 juta itu akan diberikan RM200 sebulan selama empat bulan dan akan memanfaatkan 320,000 pekebun kecil.

Sebelum ini dalam Bajet 2022, pemberian BMT sebanyak RM600 yang disalurkan melalui dua peringkat iaitu RM300 pada November 2022 dan RM300 pada Disember 2022.

Kata Tengku Zafrul, bantuan kepada pesawah diperkenalkan semula untuk tahun depan dengan memberi bantuan sebanyak RM200 sebulan untuk tempoh tiga bulan atau semusim yang memanfaatkan 240,000 pesawah dengan peruntukan RM228 juta.

"Bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah, Insentif Pengeluaran Lateks diperkenalkan bersama program TARGET (Projek Transformasi Perusahaan Getah) untuk menambah baik rantaian bekalan bahan mentah melalui koperasi," katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Sementara itu, Skim Perlindungan Pertanian akan diperkenalkan untuk melindungi pengusaha pertanian daripada sebarang risiko luar kawalan seperti cuaca, penyakit dan makhluk perosak, bermula dengan pesawah padi.

Beliau berkata, pelbagai subsidi dan insentif merangkumi susbsidi harga padi, baja pagi, benih padi sah, baja padi huma dan insentif padi serta insentif tangkapan hasil nelayan dengan peruntukan RM1.8 bilion iaitu meningkat RM100 juta berbanding sebelum ini.

"Kerajaan akan tetap memastikan kebajikan dan sokongan yang berterusan kepada para pesawah, nelayan dan pekebun kecil," katanya.

Bajet 2023 adalah yang kedua di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan yang kedua sejak Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dilancarkan pada 27 September 2021.— Bernama

Bajet 2023, pesawah, pekebun getah, nelayan, BMT