[VIDEO] Ajal ketika bertandang ke rumah rakan, letupan TV LCD korbankan seorang remaja, 2 lagi cedera


  • Benua
  • Jumaat, 07 Okt 2022

Tangkap layar yang menunjukkan keadaan rumah mangsa mengalami kerosakkan teruk akibat daripada letupan televisyen tersebut.

LETUPAN televisyen LCD mengakibatkan seorang remaja lelaki maut di Ghaziabad Uttar Pradesh, India.

Impak daripada letupan perkakas elektrik yang dipasang di dinding itu turut mencederakan dua mangsa lain yang berada di dalam kediaman tersebut.

Ketika kejadian, mangsa berusia 16 tahun dikenali sebagai Omendra sedang berada di rumah rakannya yang terletak di Harsh Vihar ketika letupan televisyen itu berlaku.

Kesemua mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital berdekatan oleh orang awam.

Letupan daripada televisyen itu juga mengakibatkan rumah rakan mangsa mengalami kerosakan dinding yang serius.

Memetik laporan media, pihak polis mengesahkan kejadian tersebut.

Menurut polis, mangsa berusia 16 tahun meninggal dunia ketika menjalani rawatan di hospital.

"Remaja itu meninggal dunia akibat kecederaan parah akibat serpihan kaca dan bendasing mengenai muka, dada dan lehernya.

"Manakala tiga mangsa yang lain masih menerima rawatan di hospital," katanya.

Tambah polis lagi, punca letupan masih belum dapat dipastikan, bagaimanapun siasatan terperinci akan dijalankan dan tindakan undang-undang akan diambil dalam perkara itu.

Salah satu sebab utama yang boleh menyebabkan letupan TV di India ialah lonjakan kuasa atau peningkatan voltan secara tiba-tiba. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram