Ada kemungkinan bincang bubar Parlimen — Ismail Sabri


  • Primer
  • Khamis, 06 Okt 2022

Ismail Sabri berkemungkinan akan membangkitkan soal pembubaran Parlimen pada sesi menghadap Agong pada Khamis, sekiranya berkesempatan. — Bernama

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak menolak kemungkinan untuk membincangkan agenda pembubaran Parlimen dibincangkan dalam sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Khamis jika berkesempatan.

Beliau berkata, pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah biasanya dilakukan setiap minggu, sehari sebelum mesyuarat Kabinet bagi membincangkan perihal berkaitan Kabinet.

Menurutnya, perbincangan itu mungkin mengambil masa yang panjang memandangkan banyak perkara yang akan diterangkan selain beliau menerima pesanan daripada Seri Paduka.

Semasa ditemui selepas meninjau persiapan Bajet 2023 di Kementerian Kewangan di Putrajaya pada Khamis, Ismail Sabri yang ditanya sama ada tarikh pembubaran Parlimen akan dibawa pada majlis menghadap hari ini berkata: "Tak pasti lagi nak bawa atau tak. Kalau bincang hal Kabinet panjang sangat, pasal Kabinet sahaja.”

Ditanya lagi sama ada terdapat agenda "tambahan atau khusus” semasa menghadap Agong, Ismail Sabri berkata: "Kita tengok, kalau bincang sampai Maghrib tak sempat nak bincang hal lain”.

Ismail Sabri dijangka menghadap Seri Paduka pada pukul 4 petang Khamis di Istana Negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram