17 OKU penglihatan berbasikal sejauh 90km ke Bagan Lalang


  • Massa
  • Rabu, 05 Okt 2022

Sebahagian daripada peserta yang memulakan kayuhan ke Bagan Lalang.

CACAT penglihatan bukan halangan buat 17 peserta untuk berbasikal sejauh 90 kilometer (km) dari Kompleks MAB di Brickfields, Kuala Lumpur, ke Seri Bayu Resort Bagan Lalang, Selangor.

Program kayuhan basikal Selangor Blind Ride itu dianjurkan Persatuan Orang Buta Malaysia bersempena Hari Malaysia.

Pada pelancaran itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAB, George Thomas berkata, program itu adalah sesuatu yang dinanti-nantikan oleh ahli.

"Selepas berehat selama dua tahun akibat pandemik Covid-19, ini adalah perjalanan jarak jauh pertama kami.

"Kami mempunyai kelab tandem yang diaktifkan semula. Sukarelawan yang menjadi penunggang di hadapan biasanya menghabiskan beberapa jam pada pagi hujung minggu untuk membantu peserta berlatih.

"Program ini bertujuan untuk menyemai rasa kasih sayang dan menunjukkan semangat patriotisme golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) penglihatan," katanya.

Bagi perjalanan ke Bagan Lalang, peserta dibantu oleh 17 ahli jawatankuasa dan teknikal serta 17 sukarelawan yang bertindak sebagai penunggang hadapan dan marsyal.

Thomas berkata, MAB berharap program ini dapat mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk melihat kelebihan dan kemampuan golongan OKU.

Program itu disokong oleh kerajaan Selangor, Pertubuhan Amal Dana Kita, MR DIY dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

Mewakili Timbalan Datuk bandar MBSJ dan Pengerusi Persatuan Berbasikal MBSJ, Mohd Zulkurnain Che Ali ialah Penolong Pengarah Kanan MBSJ, Tarmidi Kadri.

Tarmidi memuji program itu dan mengakui kagum dengan semangat dan keupayaan peserta cacat penglihatan.

Turut hadir pada pelancaran program itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Rekreasi MAB, Irwan Hanis Datuk Ismail. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram