Singkatan terpanjang di dunia kini milik jalan di Teluk Intan


  • Primer
  • Selasa, 04 Okt 2022

Papan tanda Jalan SKOMK yang turut disertakan dengan nama penuhnya.

SINGKATAN terpanjang di dunia kini dijadikan nama jalan di Teluk Intan, Perak.

Jalan SKOMK yang dipendekkan daripada SKOMKHPKJCDPWB (Syarikat Orang-Orang Melayu Kerajaan Hilir Perak Bekerja Sama-Sama Kerana Jimat Cermat Simpanan Dan Pinjaman Wang Dengan Tanggungan Berhad) terletak bersebelahan bangunan yang menggunakan nama sama.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Bedamar, RN Terence Naidu berkata, papan tanda jalan itu dipasang beberapa hari sebelum Hari Malaysia.

"Saya masih ingat ketika di sekolah bila mengetahui dari buku Rekod Dunia Guinness (GWR) yang singkatan terpanjang di dunia datang daripada Teluk Intan. Memang rasa bangga.

"Disebabkan itu saya telah berusaha untuk mendapatkan Majlis Perbandaran Teluk Intan untuk menggunakan singkatan itu sebagai nama jalan sekali gus boleh menjadi daya tarikan pelancong," katanya.

Jelas Terence, dia juga bersetuju untuk memperuntukkan sebanyak RM20,000 untuk memasang papan maklumat berkaitan kapal wap yang karam di Sungai Perak di mana dandangnya boleh boleh dilihat hingga kini ketika air surut.

Ujarnya, dia juga bercadang mahu mendapatkan pengiktirafan jalan itu sebagai jalan dengan nama terpanjang.

"Saya harap nama jalan dan papan maklumat itu dapat menarik pelancong dalam dan luar negara ke Teluk Intan," katanya.

Koperasi yang dahulunya dikenali sebagai Syarikat Pekerja-Pekerja Kerajaan Hilir Perak telah dimulakan pada tahun 1923.

Namanya ditukar kepada versi yang lebih panjang pada tahun berikutnya dan diiktiraf sebagai singkatan nama terpanjang di dunia.

Terence berkata, menjadi impiannya sejak kecil untuk melihat Teluk Intan menjadi destinasi pelancongan yang terkenal. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram