Bukan besi atau kayu tapi pelajar bawa buaya jadi senjata ketika bergaduh


  • Benua
  • Rabu, 21 Sep 2022

Tangkap layar menunjukkan seekor anak buaya yang dibawa pelajar ketika pergaduhan di Jalan Angklung, Duren Sawit, Jakarta Timur, Indonesia.

ISU pergaduhan dalam kalangan pelajar sememangnya sukar dibendung terutamanya bagi kaum lelaki yang sering terpalit dengan kejadian terbabit.

Kebiasaannya senjata seperti kayu, besi dan pisau antara yang sering digunakan, namun lain pula ceritanya apabila baru-baru ini, buaya dibawa semasa pergaduhan bagi menakutkan pihak lawan.

Tular di laman media sosial apabila seorang pelajar lelaki terlibat dalam pergaduhan telah membawa seekor buaya di Jalan Angklung, Duren Sawit, Jakarta Timur, Indonesia.

Rakaman yang dimuat naik di laman Instagram @warungjurnalis itu dirakamkan menerusi kamera litar tertutup CCTV di kawasan berhampiran.

Kekecohan tercetus apabila sekumpulan lelaki dilihat berlari akibat dikejar haiwan buas berkenaan.

Kejadian itu kemudiannya dileraikan oleh pihak polis yang tiba di lokasi itu selepas menerima laporan daripada penduduk.

Kesemua suspek yang terlibat dibawa ke balai polis dan hasil siasatan mendapati salah seorang daripadanya membawa seekor anak buaya ketika kejadian.

Ketua Polis Duren Sawit, Kompol Martson Marbun berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, anak buaya itu merupakan haiwan peliharaan di sekolah pelajar terbabit.

"Anak buaya itu adalah kepunyaan pihak sekolah dan secara kebetulan ia disimpan pelajar tersebut ketika kejadian.

"Pelajar berkenaan tidak menjangkakan pergaduhan bakal tercetus dan tanpa sengaja telah melibatkan buaya itu ketika pertelingkahan," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram